Pengusaha kantin tidak optimis walau sekolah dibuka semula


Angie Tan

Pengusaha kantin sekolah tidak yakin perniagaan mereka akan kembali pulih seperti asal selagi pandemik Covid-19 belum berakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2021.

PENGUSAHA kantin tidak terlalu optimis dengan perniagaan mereka walaupun Kementerian Pendidikan mengumumkan sekolah akan dibuka semula mulai 1 Mac.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, perniagaan teruk selepas sekolah ditutup hampir sepanjang tahun 2020 dan dan awal 2021, dengan pelajar beralih kepada pembelajaran dalam talian kerana wabak Covid-19.

Eddy Fong, yang menjadi pengendali kantin sekolah selama 12 tahun memberitahu The Malaysian Insight, model perniagaan mereka berubah kerana wabak tersebut.

Beliau terpaksa membungkus dan menghantar makanan kepada pelajar di bilik darjah kerana norma baharu tidak mengizinkan pelajar makan di kantin. Ibu bapa juga perlu membayar makanan tersebut setiap bulan.

“Jika sebuah keluarga mempunyai dua atau tiga anak yang belajar, mereka perlu membayar lebih banyak untuk makanan anak-anak mereka. Oleh itu, kebanyakan ibu bapa lebih suka tidak membeli makanan di sekolah,” kata Fong.

“Ibu bapa lebih suka anak-anak menikmati makanan dengan sempurna selepas habis waktu sekolah dan membekalkan makanan ringkas atau roti untuk mereka makan semasa waktu rehat. Dengan cara ini, ibu bapa dapat menjimatkan wang.”

Katanya, ketika kelas disambung semula tahun lalu, hanya 10% ibu bapa yang sanggup membayar makanan dari kantin sekolah. Mengambil kira perkara itu, Fong berkata tidak optimis dengan keadaan semasa.

“Saya melakukan yang terbaik untuk meyakinkan ibu bapa yang semua langkah sudah diambil untuk memastikan makanan yang disediakan selamat, tetapi kerana wabak itu, mereka bimbang makanan itu mungkin tidak bersih.”

Seorang lagi pengusaha kantin, Chan Yik Cheun, berkata cabaran terbesarnya adalah tidak mempunyai cukup pekerja untuk membantunya ketika sekolah bermula.

“Oleh kerana sekolah akan dibuka semula, saya perlu mengambil lebih banyak kakitangan. Setiap hari selepas kelas saya mesti mengesahkan bilangan pelajar, membungkus makanan dan membawa semua makanan dan minuman yang beratnya sekitar 10kg ke bilik darjah. Sukar untuk lakukan ini jika kurang pekerja,” kata Chan.

Selepas pelajar membuat pesanan makanan mereka secara dalam talian dan membayar menggunakan e-dompet, Chan berkata tidak banyak pilihan makanan. Namun, beliau yakin perniagaan secara beransur-ansur akan kembali seperti sedia kala.

Fong yang mengendalikan kantin di sebuah sekolah rendah Cina di Petaling, Selangor kesal ramai orang berpendapat perniagaan kantin menguntungkan. Tetapi sejak wabak ini, banyak kerugian dialami.

“Perniagaan kantin mudah dikendalikan sebelum wabak itu. Sekarang dengan ketidakpastian dan pembukaan sekolah saya terpaksa membuang banyak stok dibeli dengan wang yang sukar diperoleh.

“Bahannya mahal tetapi kita tidak boleh mengenakan harga terlalu tinggi kepada pelajar kerana ini kantin sekolah.

“Saya terpaksa membuang lebih 10kg kentang, beras, bawang dan daging ayam. Walaupun tarikh luput belum sampai, saya tidak boleh menyimpannya terlalu lama kerana ia dimakan oleh anak-anak. Lebih baik membeli stok baharu,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan, Fong memulakan perkhidmatan bungkus pada Januari, tetapi perniagaannya tidak begitu memberangsangkan.

“Saya menghantar makanan ke kawasan perumahan berdekatan dengan membuat pesanan dan memasak di rumah. Terdapat banyak persaingan dalam perniagaan ini dan sambutan setakat ini sederhana sahaja,” katanya.

Chan yang mengendalikan kantin di sebuah sekolah rendah di Melaka juga beralih kepada perkhidmatan penghantaran makanan untuk memenuhi keperluan semasa penutupan sekolah.

Beliau juga terpaksa meminta pemanjangan bayaran pinjamannya kerana tidak mempunyai pendapatan pada waktu itu.

“Perniagaan makanan bungkus tidak dapat diramalkan, kadang-kadang baik, kadang-kadang buruk. Ada hari saya langsung jualan langsung tidak mencukupi untuk perbelanjaan sara hidup dan semua simpanan saya habis. Saya terpaksa meminta bantuan abang, nasib baik beliau sanggup membantu,” kata Chan.

Chan berkata, pembukaan dan penutupan sekolah berulang kali mempengaruhi industri ini.

“Saya masih ingat ketika semua minuman dan bahan sudah dibeli tetapi tiba-tiba kerajaan umum sekolah akan ditutup. Saya tidak dapat memulangkan semua bahan makanan dan hanya menunggu masa sebelum tarikh luput tamat.

“Nasib baik, beberapa guru bersetuju untuk membeli beberapa barang. Selebihnya digunakan untuk menjual makan tengah hari dan disumbangkan kepada badan kebajikan.”

Pada 19 Februari, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan murid prasekolah, sekolah rendah darjah satu dan dua akan kembali ke sekolah pada 1 Mac, sementara pelajar darjah tiga, empat dan enam akan memulakan kelas pada 8 Mac.

Sekolah menengah dalam kumpulan A (Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah) akan mula bersekolah pada 4 April manakala kumpulan B, akan bermula pada 5 April.

Turut diumumkan sekolah swasta akan dibuka semula mengikut jadual sekolah kebangsaan sementara sekolah antarabangsa yang tidak mengikuti kurikulum Malaysia boleh dibuka semula pada 8 Mac.

Pusat tuisyen juga akan dibenarkan beroperasi semula pada 8 Mac. – 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen