Umno serik kena main dengan Bersatu di Sabah, kata Puad


Nabihah Hamid Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Umno kecewa dengan tindakan Bersatu yang enggan berunding dalam pelbagai isu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2021.

UMNO tidak akan membenarkan Bersatu mengulangi perbuatan yang ia lakukan dalam ‘kerjasama’ mereka semasa semasa Pilihan Raya Negeri Sabah pada tahun lepas, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau merujuk pada dakwaan Bersatu menaja calon bebas untuk bertanding di beberapa kerusi, sekali gus menjejaskan rundingan pengagihan kerusi sebelumnya.

“Kita perlu kawan politik yang jujur, jadi tak payah nak main isu. Apa untung parti politik orang Melayu berpecah… bolehlah cakap sekarang.

“Tapi masa Sabah (PRN) kamu menikam… jadi kita takkan biarkan lagi pisang berbuah dua kali,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Puad yang lantang mengkritik kerjasama dengan Bersatu menjelaskan kenapa Umno menolak untuk bersama parti itu dalam pilihan raya akan datang.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight apa yang disifatkannya sebagai “rahsia umum” ketika Umno belum lagi secara rasmi membuat keputusan itu.

“Pada saya, kunci sebenar ialah tidak ada kejujuran politik… apabila tiada kejujuran politik, maka tidak ada konsensus politik.

“Mereka buat keputusan tanpa berbincang,” kata bekas ahli Parlimen Batu Pahat.

Ujarnya, Perdana Menteri dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin melantik ahli Parlimen Umno menganggotai Kabinet tanpa berunding atau mengikut hirerki parti.

“Beliau melantik menteri Umno tanpa berbincang, tanpa ikut hierarki (parti) dan mereka (Bersatu) tikam belakang seperti mana berlaku semasa PRN Sabah…  tidak ada kejujuran politik.

“Apabila mereka membatalkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur Singapura sedangkan mereka kata sudah menubuhkan Majlis Presiden PN, adakah dibincang perkara ini (dalam majlis).

“Apabila mereka (Bersatu) mahu PM mohon perkenan proklamasi darurat adakah dibincang di peringkat presiden parti…. tidak ada.

“Jadi saya rasa ini punca sebenar tak ada kejujuran politik,” katanya yang juga bekas timbalan menteri pendidikan dalam pentadbiran Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi ketika bercakap pada sesi temubual bersama The Malaysian Insight.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Februari, 2021.

Pengalaman Sabah

Selain kecewa dengan tindakan Bersatu yang tidak mahu berunding dengan Umno dalam pelbagai isu, parti itu juga tidak boleh melupakan pengalaman di Sabah, kata Puad.

“Itulah di Sabah kita bersangka baik tapi rupanya tidak seperti apa yang diharapkan. Kalau saya ambil contoh, satu dua kerusi patut Umno bertanding dan mereka tak tanding tapi letak calon bebas.

“Kita terkejut sebab kita sangka baik jadi kita tak buat apa (bertanding kerusi sama) rupanya orang lain tak peduli.

“Itu yang sebabkan ada beberapa calon Umno kalah kerana ada calon yang ditaja. Ini berikan satu pengalaman seperti saya sebut, kita perlu kawan politik yang jujur dan tidak tikam belakang,” katanya.

Bekas ketua pengarah Jasa juga menafikan dakwaan Umno akan memecah belahkan perpaduan Melayu apabila menolak kerjasama dengan PN.

“Pada saya soal Melayu berpecah, penyatuan ummah berpecah… ini retorik politik. Kalau nak bercakap soal Melayu berpecah, kenapa kamu dulu boleh bergabung dengan DAP dan Anwar Ibrahim untuk tumbangkan Umno.

“Apakah saat itu tak fikir penyatuan ummah? Penyatuan ummah mesti  berasaskan kepada kejujuran.

“Tidak ada gabungan (dalam parti Melayu) kalau berlaku tikam menikam… itu penyatuan ummah apa?” katanya.

Dalam pilihan raya negeri di Sabah pada tahun lepas, Barisan Nasional kalah lapan kerusi kepada PN dan rakan sekutunya. 

Bekas parti komponen BN iaitu PBS merosakkan peluang BN di sekurang-kurangnya 12 kerusi dalam pertarungan berbilang penjuru walaupun parti itu merupakan sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain PBS, BN juga bergelut dengan pertandingan pelbagai penjuru di tujuh kerusi lain – menentang STAR (3), bebas (3) dan Parti Cinta Sabah (satu).

Kekalahan lapan kerusi meletakkan BN di kedudukan kedua terbaik, dengan  hanya 14 kerusi berbanding PN yang menang 17 kerusi dalam kalangan parti-parti dalam GRS.

Selain ditambah dengan sokongan tujuh daripada PBS dan tiga orang calon bebas, PN mengatasi BN 27-14, untuk Bersatu kemudiannya mendapat jawatan ketua menteri.– 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen