TIADA apa yang silap dan tidak betul dengan buku teks Sejarah Tingkatan 4, kata Kementerian Pendidikan, selepas silibus mata pelajaran itu didakwa mengangkat perjuangan golongan Melayu haluan kiri dan komunis dalam menuntut kemerdekaan negara.
Penulisan buku teks itu juga melalui proses penerbitan yang mematuhi prosedur ketat buku teks sekolah, selain diluluskan oleh pakar sejarah, kata kementerian.
“Kementerian menegaskan bahawa buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku teks, termasuk ketepatan fakta,” kata Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, petang ini.
Kenyataan itu mengulas isu yang dibangkitkan berhubung buku teks tersebut yang sedang hangat tular di media sosial.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengkritik buku teks itu kerana memuatkan peranan golongan Melayu kiri dalam perjuangan kemerdekaan dan seterusnya Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) yang kemudiannya menjadi Parti Komunis Malaya.
Asyraf Wajdi menuduh pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini cuba menulis semua sejarah tanah air dengan mengagongkan komunis.
Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kemudian membidas Asyraf Wajdi yang disifatkannya membuat kenyataan tanpa usul periksa, salah fakta dan “menembak geng sendiri.”
Katanya, semakan silibus subjek Sejarah itu dibuat sejak pentadbiran Barisan Nasional pada 2018 dan semasa jadi menteri pendidikan, beliau tidak mencampuri urusan yang dikendalikan oleh kumpulan pakar yang dilantik oleh kementerian.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini mengesahkan penjelasan Maszlee.
Menurut Kementerian Pendidikan, kurikulum dan pentaksiran buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 “diteliti, disemak dan diperakui sah” oleh tujuh pakar sejarah dari pelbagai kaum dan pengkhususan.
Penerbitan buku teks itu juga melalui proses kawalan mutu yang ketat dari awal hingga akhir, yang melibatkan panel pakar rujuk sejarah serta beberapa jawatankuasa berkenaan di kementerian.
Kementerian Pendidikan juga mendapatkan pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, kata kenyataan itu. – 25 Februari, 2021.
Komen