Sektor pembinaan minta setahun untuk penuhi syarat penginapan pekerja


Di bawah pindaan yang diwartakan pada 17 Februari 2021, majikan mesti menyediakan kemudahan perumahan yang sesuai untuk pekerja sektor pembinaan atau menyediakan tempat tinggal sementara yang akan menelan belanja RM270 bagi setiap pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2021.

INDUSTRI pembinaan mahu kerajaan memberi mereka tempoh setahun susulan penguatkuasaan pindaan terkini mengenai syarat penginapan bagi pekerja.

Difahamkan mereka belum bersedia untuk melaksanakan inisiatif sepenuhnya untuk menyediakan tempat tinggal yang kondusif bagi pekerja di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 susulan ekonomi mereka yang tidak baik.

Di bawah pindaan yang diwartakan pada 17 Februari 2021, majikan mesti menyediakan kemudahan perumahan yang sesuai untuk pekerja atau menyediakan tempat tinggal sementara yang akan menelan belanja RM270 bagi setiap pekerja.

Sekiranya gagal mematuhi arahan ini, majikan dan penyedia penginapan akan dikenakan denda RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“Kenaikan kos pembinaan dan kos pematuhan SOP menyebabkan masalah aliran tunai serta kekangan kewangan bagi kontraktor.

“Ada keperluan untuk masa yang cukup untuk industri pulih,” menurut kenyataan media bersama oleh enam pemain industri pembinaan.

Mereka ialah Master Builders Association Malaysia (MBAM), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM), Guild of Bumiputra Contractors Wibawa (GBC Wibawa) dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (UMCA).

Mereka berkata denda yang dicadangkan di bawah Akta semasa keadaan ekonomi yang lemah sekarang terlalu drastik dan akan menganggu inisiatif kebangkitan semula industri.

Malah mereka juga masih berjuang untuk mempertahankan operasi dan pekerjaan mereka selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Oleh itu mereka meminta tempoh masa selama setahun untuk mengumpulkan sumber kewangan bagi memenuhi peraturan tersebut. – 25 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen