Azhar Harus perlu segera bertemu PM tetapkan tarikh sidang parlimen, kata DAP


Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun harus segera bertemu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menetapkan tarikh seawal mungkin bagi sesi persidangan Parlimen, kata Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2021. 

SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mesti segera bertemu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menetapkan tarikh persidangan Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong semalam menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika darurat, kata Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan ini berkata, Azhar harus menjunjung, mempertahankan dan memelihara kebebasan, kedaulatan dan kuasa tunggal Parlimen dengan mengembalikan fungsi dan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Berikutan titah Yang di-Pertuan Agong semalam, bahawa Proklamasi Darurat tidak melarang sidang Parlimen atau membatalkan fungsi dan kuasa perlembagaannya, speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun harus segera bertemu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menetapkan tarikh seawal mungkin bagi sesi persidangan Parlimen.

“Agong telah menunjukkan kesedaran yang lebih tinggi berbanding Azhar mengenai kepentingan Parlimen dan menghormati mandate pilihan raya daripada rakyat. Azhar tidak boleh sekadar duduk, goyang kaki dan menunggu perkembangan atau arahan perdana menteri yang semestinya ingin menangguhkan sidang Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang Di-Pertuan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam bertitah bahawa Parlimen masih boleh bersidang dalam tempoh darurat iaitu sehingga 1 Ogos atau lebih awal bergantung kepada keadaan pandemik Covid-19.

Beliau berkata keadaan darurat disebut sebagai tindakan proaktif khusus untuk memerangi wabak itu tetapi beberapa pihak keliru dengan tanggapan bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen bersidang adalah tidak tepat.

Keputusan Agong juga dibuat selepas pertemuan dengan Azhar dan Speaker Dewan Negara Rais Yatim, semalam.

Lim berkata oleh kerana Azhar sendiri dipanggil menghadap Agong berkenaan hal ini, beliau harus menganggap perkara mengadakan sidang Parlimen seawal mungkin ini sebagai satu keutamaan.

“Pemimpin PH juga akan meminta pertemuan seawal mungkin dengan Azhar untuk menyampaikan kepentingan mengembalikan demokrasi Parlimen,” katanya.

Darurat diisytiharkan pada 11 Januari lalu. Pengkritik menuduh Muhyiddin menggunakan peraturan darurat untuk terus berkuasa selepas kerajaan Perikatan Nasional hilang majoriti di Parlimen. – 25 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen