AKSES kepada aplikasi perkongsian foto dan pesanan ringkas, Instagram dan Telegram disekat, lapor media Iran pada Ahad, selepas tiga hari protes tercetus di banyak bandar.
Akses kepada Telegram, yang didakwa kerajaan digunakan untuk mencetuskan keganasan ketika protest disekat tengahari tadi menurut agensi berita ISNA dan media lain.
Menteri Telekomunikasi Mohammad Javad Azari Jahromi menuduh saluran dalam Telegram menjadi “penentang revolusi” dan menggalakkan “penggunaan koktail Molotov, kebangkitan bersenjata dan pergolakan sosial”.
“Jika penentang revolusi mahu menggunakan persekitaran sekarang untuk mencetuskan kekecohan, Majlis Keselamatan Agung Kebangsaan akan bertindak,” katanya seperti dipetik media negara itu.
CEO Telegram, Pavel Durov mengesahkan sekatan itu.
“Pihak berkuasa Iran menyekat akses kepada Telegram untuk majoriti rakyat Iran selepas keenganan kami menutup (Sedaje Mardom) dan pelbagai lagi saluran (komunikasi) protes,” tulisnya di akaun Twitter.
Sedaie Mardom adalah salah satu saluran Telegram yang dikecam pihak berkuasa. Ia menggantikan saluran Amadnews, salah satu saluran pembangkang di Telegram dengan lebih 1.3 juta pengikut yang ditutup selepas aduan Jahromi.
Rusuhan seluruh negara di Iran sudah masuk hari ketiga, dua orang disahkan terbunuh dan berpuluh lagi ditangkap. – AFP, 31 Disember, 2017.
Komen