Tanggungjawab PM panggil Parlimen bersidang, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Kerajaan perlu beri perhatian serius titah Agong memutuskan Parlimen boleh bersidang ketika negara diisytiharkan darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2021.

MENJADI tanggungjawab Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memanggil sidang Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Dewan boleh bersidang semasa darurat, kata penganalisis.

“Kerajaan persekutuan harus mengambil perhatian nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung semula Parlimen,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Ilham Hisommudin Bakar.

“Ini juga merupakan ujian kemampuan kerajaan dalam menangani pelbagai isu,” tambahnya.

Badan pemikir itu mengulas kenyataan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah semalam yang Parlimen boleh bersidang semasa darurat.

Dalam kenyataan itu, yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong membuat keputusan itu selepas pertemuan dengan Speaker Dewan Negara dan Rakyat, Rais Yatim dan Azhar Azizan Harun semalam.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri,” kata Fadil.

Kenyataan itu dikeluarkan 46 hari selepas Agong bersetuju permintaan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos sebagai langkah pencegahan koronavirus.

Pada 12 Januari, Muhyiddin berkata dalam siaran langsung yang Parlimen dan DUN tidak boleh bersidang sehingga tarikh ditetapkan oleh Agong.

Parlimen sepatutnya dijadualkan bersidang bermula 8 Mac hingga 8 April sebelum kerajaan mengusulkan darurat bulan lalu.

Namun, Hisomuddin tidak pasti adakah kerajaan akan menangguhkan persidangan sehingga tarikh akhir enam bulan bagi Parlimen bersidang yang berakhir pada 29 Jun.

“Dalam keadaan biasa atau situasi tiada darurat, Parlimen harus bersidang setiap enam bulan atau berdepan pembubaran secara automatik.

“Tetapi dalam keadaan darurat (Perkara 14 dan 15 Ordinan Darurat), semua peruntukan berkaitan Parlimen dan DUN ditangguhkan.

“Oleh itu, ia menarik untuk melihat sama ada Muhyiddin akan memanggilnya bulan depan atau berdiam diri hingga Jun,” kata Hisommudin.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang pada 17 Disember 2020 sementara Dewan Negara pada 29 Disember 2020.

Beliau berkata kemungkinan Muhyiddin akan terus menangguhkan sidang hingga Jun kerana kerajaannya tidak mendapat cukup sokongan Parlimen. 
Ini susulan dua ahli Parlimen Umno menarik sokongannya akhir tahun lalu.

“Jika Muhyiddin membiarkan Parlimen bersidang tidak lama lagi, kerajaannya terpaksa berdepan kritikan tentang bagaimana ia menangani wabak Covid-19 dan pelbagai masalah ekonomi.

“Ancaman Umno untuk menarik sokongan mereka sangat membimbangkan kerajaan,” kata Hisommudin.

Profesor Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi bersetuju kini terserah kepada Muhyiddin untuk mencadangkan tarikh Parlimen bersidang semula.

“Beliau mungkin perlu mendapatkan maklum balas daripada Majlis Keselamatan Nasional untuk menentukan bila Parlimen boleh bersidang lagi.

“Tetapi jika kerajaan membubarkan Parlimen sebelum bersidang, ia akan membuka jalan kepada Pilihan Raya Umum ke-15,” kata pensyarah sains politik itu.

Beliau berkata Muhyiddin mungkin menangguhkannya hingga Jun sebelum memanggil bersidang.

“Bersatu mempunyai banyak pertimbangan politik dan memerlukan PAS menyokongnya kerana Umno sudah berkata ia tidak mahu bersama Perikatan Nasional pada PRU akan datang,” kata Awang Azman. – 25 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen