SEKURANG-KURANGNYA 15 orang terbunuh dan 14 lagi cedera selepas seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya pada sebuah majlis pengebumian di timur Afghanistan pada Ahad, kata pegawai.
“Jumlah kematian kini meningkat kepada 15 orang dan 14 cedera,” kata Jurucakap Gabenor Nangarhar, Attaulah Khogyani kepada AFP.
Pegawai sebelum ini menyatakan sekurang-kurangnya 12 terbunuh.
Penyerang meletupkan diri ketika majlis pengebumian bekas gabenor daerah Haska Mina, kata kenyataan itu lagi.
Pengarah Kesihatan Daerah, Najib Kamawal mengesahkan jumlah itu.
Masih tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu. Nangarhar adalah kubu kuat Kumpulan Islam Syria dan Iraq (IS).
Ia berlaku beberapa hari selepas IS mengaku bertanggungjawab atas serangan di Pusat Kebudayaan Syiah di Kabul yang menyebabkan 41 orang terbunuh dan lebih 80 orang cedera. – AFP, 31 Disember, 2017.
Komen