6 terbunuh pesawat terhempas di Sydney


Pesawat itu dipercayai milik Sydney Seaplanes yang mempunyai ramai pelanggan ternama termasuklah Pippa Middleton, adik kepada Duchess of Cambridge, dan suaminya, James Matthews ketika berbulan madu di Australia. – Gambar AFP, 31 Disember, 2017.

ENAM orang terbunuh selepas sebuah pesawat terhempas di sebatang sungai di Australia pada Ahad, kata polis menambah yang pasukan penyelamat sudah menemui tiga mayat setakat ini.

Pesawat itu terhempas di Sungai Hawkesbury berhampiran bandar Cowan, 50 kilometer utara Sydney, kata polis New South Wales.

Pemangku Superintendent Michael Gorman memberitahu wartawan yang pesawat satu enjin itu berada di kedalaman 13 meter air sungai.

“Penyelam polis sudah berada di tempat kejadian dan tiga mayat sudah ditemui,” katanya menambah yang operasi menyelamat masih diteruskan.

Masih tiada maklumat mengenai identiti penumpang kapal itu dan penyiasat mengatakan mereka tidak tahu bilakah pesawat itu terhempas.

Serpihan dan kesan tumpahan minyak dikesan oleh helikopter penyelamat selepas kemalangan itu, dan media tempatan melaporkan yang pesawat itu dari syarikat pelancongan, Sydney Seaplanes.

Sydney Seaplanes mempunyai ramai pelanggan ternama termasuklah Pippa Middleton, adik kepada Duchess of Cambridge, dan suaminya, James Matthews ketika berbulan madu di Australia.

Jurucakap Biro Keselamatan Pengangkutan Australia memberitahu AFP yang pesawat itu dipercayai jenis DHC-2 Beaver Seaplane dalam penerbangan pulan ke Rose Bay dan Pelabuhan Sydney.

Kemalangan itu berlaku beberapa jam sebelum Pelabuhan Sydney menjadi tumpuan ramai untuk sambutan tahun baru. – AFP,31 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen