LAGENDA golf Amerika Syarikat (AS) Tiger Woods menjalani pembedahan selepas cedera di bahagia kaki pada Selasa akibat kemalangan kereta yang serius dekat Los Angeles.
Jabatan Sheriff Daerah Los Angeles berkata SUV milik Woods rosak teruk akibat kemalangan, yang tidak melibatkan kenderaan lain.
Woods berjaya dibawa keluar daripada kereta oleh anggota bomba dan paramedik. Beliau mengalami beberapa kecederaan di kaki, kata ejennya dalam satu kenyataan.
“Beliau kini menjalani pembedahan dan kami mengucapkan terima kasih atas privasi dan sokongan anda,” kata Mark Steinberg.
Woods dikeluarkan melalui cermin depan dan dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan.
Kemalangan itu berlaku berhampiran semenanjung Palos Verdes yang berbukit, di bahagian bawah jalan curam yang mempunyai laluan trak bagi kenderaan yang hilang kawalan ketika menuruni bukit, dan terkenal dengan kemalangan maut sejak sekian lama.
Woods, salah satu pemain golf paling berjaya sepanjang masa, pernah memenangi 15 kejuaraan utama golf.
Beliau baru-baru ini menjalani pembedahan belakang kelima, dan berkata tidak pasti apakah akan dapat bermain di pertandingan Masters akan datang, yang terakhir dimenangi pada 2019.
Woods, 45, berada di kawasan itu bagi kejohanan golf Genesis Invitational di Riviera Country Club.
“Kami diberitahu mengenai kemalangan kereta Tiger Woods hari ini,” kata Suruhanjaya PGA Tour Jay Monahan dalam satu kenyataan.
“Kami sedang menunggu maklumat lebih lanjut apabila beliau keluar daripada pembedahan. Bagi pihak PGA Tour dan pemain kami, Tiger berada dalam doa kami dan memberi sokongan penuh kepadanya,” tambahnya. – AFP, 24 Februari, 2021.
Komen