Derita belum berakhir bagi 1,200 warga Mynmar, kata Amnesty


Elill Easwaran

Awal hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan perintah penangguhan sementara terhadap kerajaan Malaysia untuk menghantar pulang 1,200 warga Myanmar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.

PENANGGUHAN sementara yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 1,200 warga Myanmar tidak bermaksud bahawa pendatang berkenaan selamat dari dihantar pulang, kata Amnesty International Malaysia.

Pengarah eksekutifnya Katrina Jorene Maliamauv berkata pendatang berkenaan masih berdepan risiko yang mengancam nyawa.

“Penting untuk tahu bahawa penangguhan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah tidak bermaksud 1,200 selamat dari dihantar pulang.

“Kami mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan kembali rancangan mereka menghantar pulang kumpulan ini kembali ke Myanmar di mana pelanggaran hak asasi manusia ketika ini sangat tinggi,” katanya. 

Awal hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan perintah penangguhan sementara terhadap kerajaan Malaysia untuk menghantar pulang 1,200 warga Myanmar.

Tindakan dibuat selepas Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia bersama-sama mengusulkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi KL untuk menghalang tindakan kerajaan menghantar pulang migran ke Myanmar.

Warganegara Myanmar dijadualkan dihantar pulang oleh angkatan laut Myanmar hari ini di pangkalan tentera laut Lumut.

Katrina berkata antara 1,200 pendatang Myanmar adalah pemegang kad UNHCR yang sah, pencari suaka dan anak-anak yang terpisah dari ibu bapa mereka.

Putrajaya memutuskan untuk menghantar pulang warga Myanmar dengan kapal laut hanya beberapa minggu selepas rampasan kuasa.

Tentera Myanmar merampas kuasa kerana enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya umum pada November 2020 yang dimenangi oleh Aung San Suu Kyi dan partinya Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Dengan rampasan kuasa itu, tentera meletakkan Myanmar di bawah perintah darurat selama setahun, namun dibantah oleh ribuan rakyat yang sejak beberapa hari lalu mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya di beberapa bandar utama di serata negara. – 23 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen