Rajinikanth masuk politik


Rajinikanth dipuja peminat filem Tamil terutama sekali di Tamil Nadu, pengumuman yang beliau akan menceburi politik menggemparkan India dan diraikan penyokongnya di Tamil Nadu yang mengalami ketidakstabilan politik sejak Disember 2016.– Gambar AFP, 31 Disember, 2017.

RAJINIKANTH, bintang terkenal India yang dipuja ramai peminat di negara itu mengumumkan masuk politik pada Ahad.

Pengumuman pelakon berusia 67 tahun itu menamatkan penantian selama hampir dua dekad peminatnya terutama di kawasan selatan Tamil Nadu yang berharap beliau memasuki politik. Beliau sangat dikenali ramai dan dianggap “The Superstar”.

“Saya akan bentuk parti politik sendiri dan akan bertanding di semua 234 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada penyokong yang memenuhi dewan di Chennai.

Negeri itu yang mempunyai 72 juta penduduk, dilanda ketidakstabilan politik sejak Disember 2016 selepas kematian Ketua Menteri Jayalalithaa Jayaram yang juga bekas pelakon filem.

Rajinikanth bekerja sebagai konduktor bas di Bangalore sebelum ke Chennai pada 1973 untuk memulakan kerjaya dalam bidang lakonan.

Beliau menjadi salah seorang bintang paling dikenali dalam industri perfileman Tamil.

Rajinikanth yang sangat berpengaruh sehingga mampu memujuk peminatnya supaya menolak kerajaan negeri yang memerintah pada 1996 dengan meminta mereka tidak memberikan undi kepada kerajaan.

“Saya tak buat kerana jawatan atau wang atau populariti kerana saya sudah ada segalanya,” katanya pada Ahad mengenai rancangan politiknya.

Ramai peminat meraikan pengumuman itu dengan membakar mercun, menari dan melaungkan sokongan kepada Rajinikanth.

Seorang lagi bintang terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan juga menyampaikan ucapan tahniah.

Tetapi kebanyakan parti politik- terutama dua parti daerah terbesar, DMK dan AIADMK yang mendominasi politik Tamil dan terjejas teruk dengan pengumuman itu- masih berhati-hati dalam menerima khabar itu.

BJP pula walaupun mendominasi politik di hampir seluruh India tetapi masih merupakan parti kerdil di Tamil Nadu.

Modi, bagaimanapun mempunyai hubungan baik dengan bintang Tamil itu yang seringkali memuji perdana menteri India itu.

Seluruh negeri Tamil Nadu riuh setiap kali filem terbaru Rajinikanth dikeluarkan. Banyak syarikat memberikan pekerja mereka cuti, kerana kehadiran bekerja yang sangat rendah.

Peminat meniru gaya rambut karakter Rajinikanth, malah ada yang membuat tatoo wajahnya di badan mereka meraikan filem terbaru bintang itu.

Di Chennai, ramai peminat meletakkan manisan malah menuang susu ke atas poster bintang itu- tradisi yang wujud dalam amalan memandikan patung tuhan mereka dengan susu.

Dalam banyak filemnya, Rajinikanth memainkan peranan pejuang berhati murni.

Beliau juga seringkali membawa watak hero yang menentang kejahatan demi kebaikan masyarakat.  – AFP, 31 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen