Ibu bapa, guru merungut keputusan saat akhir buka sekolah


Hailey Chung Wee Kye Diyana Ibrahim

Murid prasekolah hingga Tahun 2 akan memulakan persekolahan pada 1 Mac manakala Tahun 3 hingga Tahun 6 pada 8 Mac. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Februari, 2021.

IBU bapa dan guru kecewa dengan pengumuman saat akhir Kementerian Pendidikan (KPM) membuka semula sekolah secara berperingkat mulai minggu depan.

Keputusan KPM yang sering berubah-ubah menyusahkan untuk membuat persediaan, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

Jumaat lalu, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac ini.

Murid prasekolah hingga Tahun 2 akan memulakan persekolahan lebih awal pada 1 Mac manakala murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pada 8 Mac. Pelajar sekolah menengah pula akan memulakan sesi selepas cuti pertengahan penggal berakhir pada 3 dan 4 April mengikut zon.

Sekolah diarah tutup mulai 9 November tahun lalu susulan peningkatan mendadak kes Covid-19. Sesi persekolahan secara bersemuka dijadual bermula 20 Januari tetapi ditunda berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 Januari, namun pembelajaran diteruskan melalui kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beberapa hari sebelum Radzi umum sekolah dibuka semula, kerajaan melancar saluran khas pendidikan DidikTV, sebagai usaha KPM meningkatkan akses pendidikan seluruh negara.

DidikTV dilancarkan sebagai usaha membolehkan murid mendapat bahan pembelajaran melalui televisyen, khususnya yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai.

Suri rumah, Haniza Ahmad, 36, berkata kerajaan gagal menangani masalah pembelajaran murid semasa pandemik Covid-19 kerana sering mengumumkan keputusan pada saat akhir.

“Kerajaan umum saat akhir. Nak umum sekolah buka atau tidak pun lambat. Lepas itu, bila nak buka umum macam itu saja.

“Saya tunggu pengumuman dari awal untuk sesi sekolah 2021, tetapi rupanya hanya untuk pelajar peperiksaan utama, jadi saya taklah beli lagi kelengkapan sekolah anak. Tapi sekarang memang kelam kabut nak beli,” katanya.

Seorang guru yang mahu namanya dirahsiakan berkata para guru sebenarnya lebih suka sekolah dibuka, namun tindakan kerajaan mengumumkan saat akhir menyukarkan mereka membuat persiapan.

Guru muda berusia 25 tahun itu berkata mereka sebelum ini banyak kali terpaksa mengubah jadual bagi pengajaran di rumah sejak sekolah buat pertama kali ditutup kerana PKP pada Mac tahun lalu, dan kini terpaksa berbuat demikian  bagi sesi bersemuka.

Katanya, guru juga bimbang dengan kemudahan sekolah yang terhad untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kebiasaannya masalah ini boleh diselesaikan sebelum sekolah dibuka, cuma sekarang ini tempoh singkat untuk buat persiapan terlalu singkat,” katanya.

Guru juga bimbang dengan kemudahan sekolah yang terhad untuk mematuhi SOP ditetapkan KKM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Februari, 2021.

Tidak konsisten

Kumpulan Tindakan Melaka bagi Ibu Bapa Dalam Pendidikan (Magpie) Mak Chee Kin berkata pengumuman saat akhir KPM memang sudah dijangka susulan program PdPR mendatangkan banyak masalah.

Bagaimanapun, keputusan kerajaan yang sering tidak konsisten menyusahkan ibu bapa dan guru, katanya.

“Ramai guru bersusah-payah menyediakan manual PdPR, jadi keputusan yang sering berubah-ubah ini tidak adil kepada mereka.

“Apatah lagi apabila DidikTV baru sahaja dilancarkan,” katanya.

Tambah Mak, KPM juga tidak patut umum pembukaan sekolah dalam masa yang singkat.

“Ibu bapa akan berasa lebih yakin jika saiz kelas akan dikecilkan atau sekolah mempunyai kakitangan yang cukup untuk memastikan anak-anak mereka selamat.”

Pembukaan sekolah bagi calon peperiksaan SPM dan STPM diterima dengan baik dengan kehadiran melebihi 70%, kata Mak.

“Oleh itu, sebaik-baiknya KPM membuka sekolah secara berperingkat mengikut tahap.

“Sebagai alternatif, buat penggiliran dalam seminggu, misalnya murid Tahun 1 hingga 3 bersekolah untuk dua hari, manakala tiga hari lagi untuk murid Tahun 4 hingga 6.”

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata ibu bapa selalunya berbeza pendapat dalam isu pembukaan sekolah.

Baliau bagaimanapun menegaskan sekolah adalah kawasan yang selamat untuk murid.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia kadar kebolehjangkitan di sekolah hanya pada 0.026%, iaitu sangat rendah.”

Apa yang paling penting ialah pematuhan kepada SOP yang ketat, tambahnya.

“Walaupun kita mengharapkan semua orang akan patuh, bagaimanapun guru terutamanya perlu memastikan tiada siapa ingkar SOP.”

Mengenai keputusan kerajaan membuka sekolah serentak di seluruh negara, Noor Azimah menggesa supaya ibu bapa diberi pilihan untuk membenarkan anak mereka hadir ke sekolah atau tidak. – 25 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen