Umno tak berpecah, hanya berbeza pendapat, kata Najib


Mohd Farhan Darwis

Ketua Bahagian Umno Pekan itu berkata, parti itu akhirnya akan membuat satu keputusan bersama bila tiba masanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2021.

BEKAS Presiden Umno Najib Razak menafikan berlaku perpecahan dalam parti politik Melayu itu, sebaliknya menjelaskan apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat dalam kalangan segelintir ahli parti.

Ketua Bahagian Umno Pekan itu berkata, parti itu akhirnya akan membuat satu keputusan bersama bila tiba masanya.

“Mungkin ada perbezaan pendapat, istilah perpecahan mungkin tak sampai peringkat perpecahan tapi wujudnya kelompok tertentu yang bawa pandangan berbeza memang wujud dalam Umno.

“Tapi sebagai parti yang buat keputusan bebas dan demokratik, ia akan menjurus satu keputusan mutlak bila sampai masanya nanti,” kata Najib, dalam satu temubual dengan Astro Awani, malam ini.

Najib berkata, Umno hari ini berada dalam keadaan yang tidak pernah dilaluinya apabila kalah pilihan raya umum dan seterusnya tidak pula mengetuai kerajaan yang kemudiannya mereka sertai.

Disebabkan itu, jelas beliau, berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin dan ahli parti.

“Saya percaya memang ketika ini merupakan masa dan zaman paling mencabar dalam sejarah Umno sebab kita belum pernah berpengalaman sebagai pembangkang, sekarang kita sebahagian daripada kerajaan walaupun tiada kuasa mutlak.

“Ia mengundang pelbagai pendapat, sebab itu berlakunya kepelbagaian pendapat dalam Umno.

“Namun, Umno bila sampai masanya kita akan satukan pandangan dan pendapat kita dan lakukan apa yang patut sebagai persediaan untuk pilihan raya umum akan datang,” kata Najib lagi.

Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilaporkan menggesa Umno supaya segera membuat keputusan sama ada mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional atau tidak dalam pilihan raya umum akan datang.

Majlis Kerja Tertinggi Umno lalu mengadakan mesyuarat pada Jumaat lepas membincangkan perkara namun sehingga ini belum mengumumkan keputusannya.

Majlis Kerja Tertinggi Umno juga sebelum ini menyerahkan perkara itu untuk diputuskan oleh perwakilan parti dalam perhimpunan agung tahunannya yang sehingga ini masih tertangguh kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sementara itu, Najib juga berkata, dalam keadaan politik yang sentiasa berubah-ubah, Umno boleh bekerjsama dengan sesiapa sahaja termasuk seteru politik mereka hari ini.

“Keadaan politik dinamik, sentiasa berubah. Kalau lihat PH (Pakatan Harapan) mana boleh fikir Dr Mahathir (Mohamad) dan Anwar (Ibrahim) bersama, Dr Mahathir dan DAP boleh duduk semeja, lantik DAP jawatan penting. Itu kita tak pernah fikir tapi berlaku,” kata Najib.

Namun begitu, Najib menjelaskan, langkah berkenaan hanya akan dilakukan dengan izin dan perkenan akar umbi parti.

“Dalam konteks saya, kita lihat pilihan yang ada, tapi mesti diterima pemimpin dan ahli Umno. Apa kita nak buat mesti diterima akar umbi dan bahagian mesti terima.

“Saya tak nampak ada apa-apa sebab kita tak boleh ada keterbukaan untuk bekerjasama dengan semua, tetapi dengan syarat ahli dan pemimpin Umno terima dan mereka ikhlas nak bekerjasama,” kata Najib.

Menurutnya lagi, mana-mana pakatan politik yang hendak dibentuk harus mempunyai teras yang kukuh atau berhadapan kegagalan.

“Kalau nak buat pakatan politik baru, bukan berdasarkan teras ia akan runtuh, berlaku pada PH kerana asas itu tidak ada.

“(Kerjasama yang ingin dibentuk) bukan kehendak pemimpin, kalau pemimpin nak ahli tak terima tak boleh laksanakan, akhirnya perlu rujuk kepada ahli Umno,” kata Najib lagi. – 22 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen