Majikan pilih potong gaji, bukan berhenti pekerja, kata Jabatan Perangkaan


Hailey Chung Wee Kye

Jumlah pengangguran pada 2020 meningkat lebih 700,000 berbanding 500,000 penganggur sebelum pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.

RAKYAT Malaysia harus bersabar menghadapi pemotongan gaji kerana syarikat umumnya tidak dapat membayar kos tinggi berikutan kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Malaysia Dr Mohd Uzir Mahidin memberitahu The Malaysian Insight, keseluruhan min dan median gaji di Malaysia setahun terakhir ini berkurangan kerana majikan memilih untuk memotong gaji pekerja dan bukannya memberhentikan pekerja.

Beliau berkata pandemik ini mempengaruhi pendapatan ekonomi Malaysia yang sebahagian besarnya didominasi oleh sektor perkhidmatan (57%) dan pembuatan (23.5%).

Sektorini merangkumi 11.7 juta orang, bersamaan dengan hampir 80% daripada jumlah pekerjaan di Malaysia, katanya.

Tambahnya, hanya industri getah, plastik, dan farmasi yang tetap utuh sepanjang pandemik ini.

“Statistik pembuatan bulanan melaporkan dari Januari 2020 hingga November 2020, min gaji dan upah yang dibayar adalah RM7.22 bilion sementara mediannya adalah RM7.19 bilion.

“Ini menunjukkan bahawa min dan median menurun dari RM7.35 bilion pada 2019.”

Uzir berkata, jumlah gaji dan upah yang dibayar di sektor pembuatan menurun sebanyak 2.7% (RM21.4 bilion).

“Hampir semua subsektor mencatat penurunan gaji dan upah, terutama dalam peralatan pengangkutan dan produk elektrik dan elektronik.

“Tetapi ada subsektor yang mengalami kenaikan nilai penjualan sepanjang krisis ini.

“Ini adalah pembuatan getah dan plastik, dan pembuatan produk farmaseutikal yang mengalami pertumbuhan nilai penjualan masing-masing sebanyak 22.4% dan 21.2%.”

Hasilnya, jumlah pekerja untuk kedua-dua industri yang disebutkan juga mencatat peningkatan, katanya.

“Jumlah pekerja yang berdaftar dalam industri produk getah dan plastik meningkat sebanyak 7,059 menjadi 276,000 orang, sementara industri produk farmasi mempunyai tambahan 2,415 menjadi 23,751 pekerja.

“Rata-rata gaji dan upah bagi setiap pekerja industri itu juga masing-masing meningkat kepada RM3,417 dan RM2,258.”

Pandemik mempengaruhi pendapatan ekonomi Malaysia yang sebahagian besarnya didominasi sektor perkhidmatan dan pembuatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.

Secara keseluruhan bagi sektor pembuatan pada 2020, gaji min dan median bagi setiap pekerja masing-masing adalah RM3,267 dan RM3,275. Ini adalah pengurangan dari RM3,277 dan RM3,262 pada 2019.

Bagi sektor perkhidmatan di Malaysia, jumlah gaji dan upah yang dibayar menurun sebanyak 2.5% (RM24.7 bilion), kata Uzir.

“Tidak dapat dinafikan 16.9% atau 2.5 juta pekerja yang terdiri daripada pekerja yang memperoleh gaji harian dalam pekerjaan negara kita juga terpengaruh, begitu juga industri yang berkaitan dengan pelancongan.

“Min gaji dan upah untuk sektor perkhidmatan pada tiga suku pertama 2020 adalah RM24.4 bilion sementara mediannya RM24.7 bilion.

“Berbanding tahun 2019, nilai min dan median gaji dan upah adalah RM25.24 bilion dan RM25.25 bilion.

“Sejajar dengan itu, min dan median bagi setiap pekerja di sektor perkhidmatan masing-masing adalah RM2,202 dan RM2,222 pada 2020, turun dari RM2,209 dan RM2,235 pada 2019.”

Subsidi gaji sementara

Kawalan pergerakan kekal sebagai langkah balas pandemik Covid-19 di Malaysia sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac, 2020.

“Dengan faktor seperti waktu operasi yang terhad dan peraturan penjarakan fizikal, sedikit sahaja tenaga kerja diperlukan. Majikan melakukan penggiliran kerja atau mengatur pengurangan waktu kerja,” katanya.

Uzir merujuk kepada Laporan Gaji Global 2020-2021 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa bahawa Malaysia dan sekurang-kurangnya 40 negara lain menerapkan dasar “subsidi gaji sementara” sepanjang krisis.

“Dasar pemotongan gaji ini secara luas dilihat sebagai majikan berusaha untuk mempertahankan pekerja mereka, dengan beberapa melaksanakan pemberhentian sementara.”

Kerajaan juga melancarkan Program Subsidi Upah (PSU) sebagai bantuan kewangan bagi majikan untuk menyokong pekerja tempatan yang berpendapatan RM4,000 atau kurang.

Uzir berkata permintaan buruh yang lebih perlahan oleh industri semasa pandemik menyebabkan jumlah pengangguran pada 2020 meningkat kepada lebih 700,000 orang berbanding sekitar 500,000 penganggur sebelum pandemik.

“Sistem Insurans Pekerjaan oleh Perkeso melaporkan jumlah pencari kerja yang berjaya memperoleh pekerjaan pada 2020 adalah 160,554 individu.

“Juga dilaporkan 12,907 individu berjaya memperoleh pekerjaan pada awal 2021, dari 1 hingga 22 Januari.”

Prospek semasa menunjukkan persaingan yang kuat dalam proses pengambilan pekerja, kata Uzir.

Berdasarkan tinjauan Mercer yang dibuat antara April hingga Jun 2020, ia mendapati 84% syarikat tempatan membekukan proses pengambilan pekerja pada 2020 dan 81.4% menyatakan pembekuan pengambilan pekerja akan kekal sehingga perniagaan stabil. – 23 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen