Polis tingkatkan keselamatan 2 hospital di Pulau Pinang 


POLIS Pulau Pinang meningkatkan kawalan keselamatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), di George Town dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana dua hospital itu dijadikan Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata, semua vaksin di negeri ini telah selamat tiba di kedua-dua hospital tersebut pagi ini, dengan diiringi pasukan pengiring polis bagi memastikan jaminan keselamatan.

“Kenderaan membawa vaksin itu keluar daripada gudang menyimpan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada pukul 8 pagi dan terus ke HPP sebelum ke HSJ jam 9 pagi, jadi polis tingkatkan kawalan keselamatan di kedua-dua hospital tersebut.

“Seterusnya polis juga akan memastikan keselamatan dan perjalanan menghantar semua vaksin itu ke pusat-pusat untuk menjalankan proses vaksin berjalan lancar tanpa sebarang ancaman, dari segi kesiapsiagaan memang kami telah bersedia sepenuhnya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata tarikh dan masa untuk penghantaran vaksin daripada PSV ke lima daerah di Pulau Pinang, akan ditentukan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Sahabudin berkata, pihaknya telah menyerahkan nama 6,000 pegawai serta anggota polis untuk menerima suntikan vaksin di negeri itu, dan beliau sendiri bersedia menjadi orang pertama untuk menerima suntikan. – Bernama, 22 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen