Keajaiban menjual buku di Facebook


Zainal Rashid Ahmad

Memang benar sekali kalau dikatakan: "Digitalisasi sentiasa dianggap mimpi bagi yang mereka malas meneroka kehadiran perubahan teknologi!" – Gambar Garasi TV, 22 Februari, 2021.

STRIM langsung penjualan buku kini menjadi keutamaan dalam senarai eksperimen “mengisi kandungan alternatif” di Facebook Garasi TV.

Sebagai saluran strim penjualan bundle dan fesyen berasaskan denim dengan fokus dan tema “bergaya dengan barang dalam guni” – menjual buku satu eksperimen yang sangat kontras dengan demografi penontonnya.

Apa lagi majoriti penonton Facebook Garasi TV adalah peminat barangan bundle dan penggila tegar produk denim.

Namun, apa impaknya?

Menakjubkan! Sesi jualan strim buku pertama secara kolaborasi bersama Institut Terjemahan Buku Negara (ITBM) pada Januari lalu berjaya menjana jualan total berbayar RM18,500.00.

Walaupun angka tontonan semasa hanya mencapai 800 orang, ITBM berjaya meraih angka jualan mengejutkan dalam tempoh sejam. Kejayaan ITBM meletakkan agensi itu sebagai pemegang rekod jualan tertinggi di Garasi TV.

Sejak Ogos tahun lalu, sebagai platform strim yang cuba meluaskan jangkauan tontonan merentasi “segmen bundle dan denim”, pelbagai usahawan Bumiputera dijemput menggunakan platform Garasi TV.

Sebagai tanda solidariti terutama ketika pandemik Covid-19 menggugat pendapatan peniaga kecil, setiap promosi dan hasil jualan tidak dikenakan sebarang caj dan komisen.

Rekod jualan terbaik sebelum ini dipegang oleh usahawan madu lebah “Man Madu” yang berjaya menjual 220 botol madu berjumlah RM17 ribu dalam masa 80 minit.

Hampir 20 usahawan pelbagai produk termasuk makanan, aksesori, peruncitan dan pembersih pakaian muncul dan menggunakan platform Garasi TV sejak ditubuhkan pada 3 Julai 2020.

Secara kebetulan setelah bekerjasama dengan ITBM, ia menyebabkan Garasi TV obses pada bisnes buku.

Pada ada 12 Februari lalu Garasi TV sekali lagi meneruskan eksperimen dan  terus berkolaborasi bersama ITBM. Garasi TV memilih ITBM bagi menguji kekuatan dan konsistensi komuniti “bundle” ini terhadap industri buku.

Sekali lagi muncul kejutan. ITBM berjaya meraihkan jualan buku berjumlah RM23,700.00 dalam tempoh 90 minit. 

Sesi jualan buku ITBM dibuat secara santai bersama pelakon Sabri Yunus dan Angelina Tan sebagai tamu. Reaksi penonton sangat mengujakan. 

Selain tontonan semasa mencapai 1,700 orang – angka tontonan sepanjang strim melebihi 25 ribu tontonan.

Segmennya mudah: Pak Ya Cong Codei berkongsi pengaruh pembacaan sebagai antara elemen yang mendewasakan pertumbuhan dirinya sebagai remaja.

“Saya baca novel Hartini pada usia 14 tahun dan menangis bengkak mata kerana mengenang nasib watak Hartini,” kata Sabri Yunus.

Manakala, Angelina Tan berkongsi falsafah Mandarin yang menyebut: “Dalam buku ada emas”.

Sesi bersama Sabri dan Angelina meraih tontonan semasa 1,600 orang dan 23 ribu angka tontonan selepas tamat strim langsung. Angka tontongan ulangan meningkat ke 30 ribu dalam 48 jam.

Angka ini kecil bagi budaya strim perbukuan. Namun, impak jualannya yang wajar dijadikan kayu ukur.

Sehari sebelum sesi ITBM (11 Februari), Nuha Books mencatat rekod jualan RM25 ribu bagi kombo novel Salina karya Sasterawan Negara A Samad Said. Novel ini disertakan bersama antologi nota Warkah Untuk Pak Biden dan Blues Ceo Grab karya Khair Ngadiron.

Bersama tamu Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, kombo tiga buah berharga RM100 ini berjaya dijual sebanyak 250 set.

Sekali lagi rekod dipecahkan. Angka-angka jualan ini agak unik kerana ia diperolehi di platform strim Facebook yang mengumpulkan peminat denim.

Strim Garasi TV memiliki jadual tetap. Platform ini bersiaran enam hari seminggu (Isnin tiada siaran). Slotnya pada setiap 3 petang dan 9 malam.

Pyanhabib turut menggemparkan

Penyair, pelakon dan aktivis puisi jalanan, Pyanhabib turut menyertai senarai rali buku. 

Kemunculannya pada 19 Februari bukan saja mengheret rating tontonan dengan 1,300 orang tetapi turut berjaya menjual 90 set buku dan baju koleksi aksinya dalam filem Kembara Seniman Jalanan.
 
Antologi puisi Melukis Puisi Sebuah Pencitraan Puisi – Pyanhabib turut tersenarai dalam carta Garasi TV sebagai produk “laku keras”.

Sesi Pyanhabib lebih versatil dengan persembahan baca puisi jalanan di bawah tiang lampu. Segmen sejam ini mengembalikan memori dekad 80-an. Bezanya kali ini dengan elemen “one man show” ini disalurkan secara strim di media sosial.

Pyanhabib berjaya mengheret 22 ribu total  penonton strim dengan 1.3 ribu tontonan tertinggi semasa. Ia angka kecil dibanding strim dialog politik atau sesi “live” artis popular di media sosial. 

Namun, bagi acara sastera di platform yang dipenuhi “kaki denim” – angka ini satu pencapaian permulaan yang baik.

Respon awam ini membuktikan acara sastera dan pasaran perbukuan fizikal mempunyai potensi luar biasa dalam trend penstriman.

Selama 18 bulan melobi kepada agensi-agensi perbukuan milik kerajaan untuk memulakan jualan secara penstriman di media sosial – idea Garasi TV dianggap “mimpi poyo”. 

Jualan strim dianggap imaginasi digital kerana industri perbukuan selesa dengan gaya sedia ada. Konsep jualan di premis dan pesta buku dianggap syurga pasaran. 

Atau, rekod jualan mewah secara dalam talian dianggap trend digital yang cukup memberangsangkan. Shopee adalah syurga jualan buku.

Apa kelebihan strim?

Strim sebenarnya membolehkan komunikasi merentas “garisan totok” mempromosi buku kepada khalayak pembaca. Malah, berpotensi membina kelompok pembaca baharu.

Malah, memberi lebih nilai kerana strim membolehkan elemen promosi diperkasakan dengan memperkenalkan karya secara lebih “hidup” melalui komunikasi secara langsung.

Ini realisitik kerana strim ialah siaran komunikasi TV tetapi berjalan secara dua hala menggunalan platform percuma Facebook.

Hanya dengan kamera henfon, tiga biji “lampu ayam” dan mikrofon wireless yang dijual di “Pasar Pudu”, ia mampu merentas jangkauan 60 ribu pengguna Facebook.

Selain memiliki elemen jual beli yang lebih interaktif melalui komunikasi stail media sosial.

Asal konten pemasaran dan penjualannya memahami asas utama: iaitu membina khayalak pembeli bahari di kalangan masyarakat awam.

Melalui tujuh acara strim jualan buku Garasi TV berjaya menjual hampir RM100 ribu.

Cuma, ia bukan bisnes Garasi TV. Platform ini kekal sebagai saluran strim peminat “bundle” dan pecinta denim. 

Namun, menyedikan ruang kolaborasi tanpa caj kepada penerbit buku. Matlamat utamanya ialah memastikan permintaan buku meningkat.

Malah, sentiasa mahukan rekod demi rekod capaian jualan dicipta demi menghangatkan kembali pasaran buku fizikal di platform strim digital.

Selain buku, Garasi TV turut mempromosi puluhan produk Bumiputera dalam pelbagai genre perniagaan. Setakat ini, jualan buku kekal sebagai “paling berjaya”.

Apa pengajarannya?

Pengajarannya mudah: Tidak mengapa kalau idea memajukan jualan buku melalui strim dilihat “tidak masuk akal” di mata agensi kerajaan.

Asalkan ia “masuk akal” kepada masyarakat awam untuk mengenali buku-buku bahasa Melayu keluaran penerbit tempatan.

Memang benar sekali kalau dikatakan: “Digitalisasi sentiasa dianggap mimpi bagi yang mereka malas meneroka kehadiran perubahan teknologi!”

Terima kasih peminat denim. Anda membuktikan buku fizikal kekal popular sebagai bahan bacaan pilihan rakyat Malaysia. – 22 Februari, 2021.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen