Akses Internet di Iran disekat


Pelajar Iran melarikan diri daripada gas pemedih mata yang dilemparkan pihak berkuasa ketika demonstrasi berlangsung di kawasan Universiti Tehran, semalam. – Gambar AFP, 31 Disember, 2017.

PENUNJUK perasaan menyerang dewan bandar raya di ibu kota Iran semalam ketika bantahan memasuki malam ketiga, walaupun kerajaan memberi amaran melarang “perhimpunan haram” diadakan dan bertindak menyekat Internet.

Video di media sosial menunjukkan ribuan penduduk berarak di seluruh bandar raya Khorramabad, Zanjan dan Ahvaz, ketika laporan merebak pantas bahawa polis menembak mati beberapa orang di bandar raya Dorud.

Khabar angin, selain sekatan perjalanan dan ketiadaan media agensi rasmi, menjadikan laporan itu sukar disahkan.

Pihak berkuasa bertindak balas dengan menyekat akses Internet di telefon bimbit, dengan rangkaian utama terganggu sekurang-kurangnya di Tehran sejurus sebelum tengah malam.

Agensi berita Iran memberi amaran bahawa Telegram, perkhidmatan media sosial paling popular di negara itu, mungkin disekat selepas Menteri Komunikasi Mohammad-Javad Azari Jahromi mendakwa saluran popular, Amadnews menggalakkan “kebangkitan bersenjata”.

Sementara itu, agensi berita Mehr menyiarkan video penunjuk perasaan menyerang dewan bandar raya di tengah Tehran, menterbalikkan kereta polis dan membakar bendera Iran.

Kekecohan juga berlaku sebelum itu di kawasan universiti di bandar raya itu, apabila ratusan penduduk membanjiri jalan raya, menghalang trafik dan melaungkan slogan menentang rejim.

Bagaimanapun, pihak berkuasa juga menunjukkan pengaruh, dengan ratusan anggota unit pencegah rusuhan mengambil alih kawalan di pintu masuk universiti, melaungkan “matilah penghasut”. – AFP, 31 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen