PUTERI pemerintah Dubai berkata beliau dikurung dan bimbang keselamatan dirinya selepas percubaan melarikan diri, menurut rakaman yang disiarkan pada Selasa.
Sheikha Latifa masih belum kelihatan di khalayak ramai sejak cubaan melarikan diri dari Emirate melalui jalan laut pada Mac 2018.
BBC menyiarkan klip yang dikatakan difilemkan kira-kira setahun selepas beliau ditangkap dan kembali ke Dubai menunjukkan beliau duduk di satu sudut apa yang didakwanya bilik mandi.
“Saya tebusan dan vila ini bertukar menjadi penjara,” katanya dalam satu video telefon bimbit.
“Ada lima anggota polis di luar dan dua polis wanita di dalam rumah. Setiap hari saya bimbangkan keselamatan dan nyawa saya.”
Dalam video lain, Latifa berkata keadaannya “semakin terdesak setiap hari”.
“Saya tidak mahu menjadi tebusan di vila penjara ini. Saya hanya mahu bebas,” katanya.
BBC mengeluarkan petikan video sebelum program berita siasatannya “Panorama”.
Sky News melaporkan ia juga menerima videonya tetapi tidak dapat menghubungi Latifa sejak sembilan bulan lalu.
Saluran TV itu melaporkan video tersebut kini diserahkan kepada PBB oleh rakannya.
Pihak berkuasa Dubai tidak memberi respons terhadap pemintaan untuk komen.
Ayah Latifa, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum, adalah naib presiden dan perdana menteri Emiriah Arab Bersatu dengan Dubai adalah salah satu daripada wilayahnya
Beliau berkongsi minat dengan lumba kuda dengan Ratu Elizabeth II dan mereka pernah bergambar bersama.
‘Dipenjara’ di Dubai
Video yang tidak bertarikh itu disiarkan ketika rakan-rakan Latifa menyuarakan kebimbangan mesej rahsia daripada terhenti, kata BBC.
Video tersebut berasal daripada rakan Latifa dari Finlandia, Tiina Jauhiainen, yang menemaninya semasa percubaan melarikan diri.
BBC berkata pihaknya mengesahkan perincian di mana Latifa ditahan.
Pada 2018, Latifa cuba melarikan diri dari UAE dengan bot yang kemudian dipintas oleh komando di luar pantai India, menurut rakannya dan kumpulan yang berpangkalan di UK, Detained di Dubai.
Dalam video tersebut, Latifa berkata lelaki dari Emirates duduk di atasnya, cuba mengikat dan menyuntiknya dengan ubat penenang.
Sumber kerajaan Dubai kemudian berkata beliau “dibawa kembali” dan UAE mengeluarkan beberapa foto Latifa, dengan mengatakan beliaumenerima “perawatan dan sokongan yang diperlukan”.
Latifa berkata ditahan selama kira-kira tiga bulan di penjara pusat Al-Awir di Dubai, hingga Mei 2018, sebelum dipindahkan ke vila. – AFP, 17 Februari, 2021.
Komen