Polis ambil keterangan Annuar Musa, dakwaan langgar SOP PKP


Kalidevi Mogan Kumarappa

Hujung minggu lalu, tular di media sosial gambar Annuar bersama enam individu lain duduk menikmati jamuan di meja yang dilihat tanpa penjarakan fizikal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2021.

POLIS sudah merakam keterangan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa minggu ini atas dakwaan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berkata, siasatan dijalankan selepas pihak menerima satu laporan polis di Cheras yang mendakwa Annuar ingkar SOP itu.

“Kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut. Kami sudah merakam keterangan beliau (Annuar) minggu ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada hujung minggu lalu, tular di media sosial gambar Annuar bersama enam individu lain duduk menikmati jamuan di meja yang dilihat tanpa penjarakan fizikal.

Gambar itu berlatarbelakangkan pemidang majlis menyambut Annuar sebagai tetamu kehormat Program Pertanian Bandar bertarikh 13 Februari 2020 di Desa Petaling, Kuala Lumpur.

Pihak penganjur program Kelab Pencinta Alam Kolam Takungan Banjir Sungai Midah juga kemudian membuat permohonan maaf terbuka kepada Annuar atas kegagalan pihak mereka mematuhi larangan PKP. 

Mereka juga menjelaskan Annuar hanya singgah sekejap dan berlalu pergi selepas melihat SOP tidak dipatuhi.

Annuar juga kemudian menjelaskan beliau cuma duduk sebentar, malah mengingatkan pihak penganjur akan kesilapan mereka.

“Tadi semasa di ladang, saya duduk sekejap dan pindah kerana penganjur tak ikut SOP.

“Bukan tak sudi atau tak hargai tuan rumah, tetapi perlu ikut SOP. Saya pohon maaf, diharap tiada yang tersinggung,” tulisnya di Facebook, selepas gambar itu tular pada Sabtu.

Semalam, Annuar berkata sedia disiasat oleh pihak berkuasa dan menegaskan tidak mahu ada layanan istimewa atas kedudukannya sebagai menteri.

“Ia (siasatan) harus berjalan, jangan ada layanan dua darjat. Kalau ada aduan perlulah disiasat dan dapatkan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya, seperti dipetik media.

Annuar juga berkata pihak polis akan turut memanggil penganjur majlis berkenaan bagi membantu siasatan.

PKP yang dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan sejak 13 Januari lalu, dan seterusnya di seluruh Malaysia kecuali Sarawak, melarang sebarang aktiviti sosial melibatkan perkumpulan beramai-ramai.

Larangan itu melibatkan majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta, termasuk kenduri-kendara dan sebarang majlis sosial. – 16 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen