SKMM sekat laman web Sugarbook


Alfian Z.M. Tahir

Sugarbook baru-baru ini mendedahkan jumlah ahlinya meningkat 40% dalam kalangan mahasiswa bagi menampung kos yuran pengajian dan kos sara hidup. – Gambar Facebook, 15 Februari, 2021.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat laman web platform mencari ‘sugar daddy’ terbesar di Asia, Sugarbook.

Laman web Sugarbook kini tidak boleh diakses, dengan notis dari SKMM menyatakan platform itu melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sugarbook baru-baru ini mendedahkan jumlah ahlinya meningkat 40% dalam kalangan mahasiswa bagi menampung kos yuran pengajian dan kos sara hidup.

Dalam satu kenyataan, platform itu berkata  trend tersebut meningkat sepanjang pandemik Covid-19 dan pelaksanaan prosedur operasi standard yang ketat (SOP) sejak beberapa bulan lalu.

Ia juga mendedahkan Universiti Sunway menduduki tempat teratas dengan 3,105 ahli aplikasi Sugarbook, diikuti Universiti Antarabangsa INTI dan Universiti Taylor masing-masing dengan 2,624 dan 1,696 ahli.

Melalui temu janji mencari ‘sugar daddy’, individu yang berkemampuan dari segi kewangan akan memberi hadiah, wang tunai, atau menanggung gaya hidup pasangan mereka sebagai balasan kerana meluangkan masa dan layanan.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata kementeriannya mengadakan pertemuan dengan SKMM hari ini berkenaan platform Sugarbook.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengambil beberapa tindakan untuk menangani isu yang menjejaskan nama baik universiti tempatan.

“KPT dan SKMM juga sepakat untuk terus menjalinkan kerjasama pada masa akan datang dalam memberikan kesedaran dan kefahaman kepada pelajar  berkenaan isu-isu sosial dan keselamatan siber,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary menggesa pihak berkuasa menyekat aplikasi Sugarbook.

Kerajaan katanya perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat khususnya pengendali aplikasi tersebut.

“Ini satu perkara yang sangat mendukacitakan kita dan saya sudah sebut bahawa pihak kerajaan akan mengenakan tindakan yang lebih keras dan tegas terhadap mereka yang terbabit.

“Aplikasi itu juga perlu dihalang daripada digunakan di negara kita kerana ia boleh mendorong rakyat melakukan perkara yang tidak betul, melanggar undang-undang dan hukum syarie,” katanya.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri dipetik Bernama berkata statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar institut pengajian tinggi berdaftar dengan aplikasi Sugarbook.

Berdasarkan rekod, pendaftaran pengguna baharu meningkat lebih 40% dan punca utamanya adalah daripada desakan hidup sewaktu wabak Covid-19. – 15 Februari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen