Penduduk Gaza terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel 


Penunjuk perasaan Palestin yang tercedera ketika bertempur dengan tentera Israel diusung ke kawasan selamat sebelum dibawa ke hospital bagi menerima rawatan. Tentera Israel menggunakan peluru hidup bagi menyuraikan penunjuk perasaan di sempadan Gaza-Israel. – Gambar EPA, 30 Disember, 2017.

SEORANG penduduk Gaza terbunuh selepas terkena tembakan yang dilepaskan tentera Israel ketika tunjuk perasaan di sempadan negara berkenaan berhubung keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, kata pegawai perubatan Palestin. 

Jamal Muslih, 20, dari kem pelarian Al-Bureij di tengah Gaza, mengalami kecederaan serius selepas ditembak peluru hidup pada Jumaat, kata jurucakap kementerian kesihatan Ashraf al-Qudra. 

Kematiannya menjadikan 13 warga Palestin terbunuh sejak Presiden AS Donald Trump pada 6 Disember mengumumkan beliau akan mengiktiraf Baitumaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan AS ke sana dari Tel Aviv. 

11 penunjuk perasaan maut ketika bertempur dengan tentera Israel, dan dua lagi terkorban dalam serangan udara Israel ke atas Gaza pada awal bulan lalu. 

Lebih 50 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran di sempadan Gaza-Israel pada Jumaat sebagai “hari kemarahan” berhubung deklarasi AS, yang digesa oleh kedua-dua pemerintah Hamas dan kumpulan pejuang yang lain. 

Di Tebing Barat, kementerian kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 16 orang cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup ketika tunjuk perasaan, manakala yang lain terkena tembakan menggunakan peluru getah. 

Terdahulu pada Jumaat, pejuang di Gaza membedil tiga roket ke selatan Israel, dua daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udara Iron Dome, manakala satu lagi terkena sebuah perkampungan berhampiran sempadan, menyebabkan kerosakan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. 

Pesawat dan kereta kebal Israel mensasarkan dua kedudukan Hamas berhampiran sempadan sebagai serangan balas, namun ia turut menyebabkan kerosakan tanpa kemalangan jiwa. 

Serangan roket dari Gaza ditembak oleh beberapa kumpulan pejuang, namun Israel tetap menganggap Hamas bertanggungjawab ke atas kesemua serangan berkenaan. – AFP, 30 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen