Walau dihalang RoS, Pakatan tetap akan tanding PRU14


Chan Kok Leong

Pakatan Harapan belum didaftar. Logo dan simbolnya belum disah. Segala surat kepada Pendaftar Pertubuhan tidak dijawab. Tetapi dalam pandangan rakyat Pakatan Harapan sudah wujud dan tetap akan bertanding dalam PRU14, kata Dr Mahathir hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Disember, 2017.

WALAUPUN berdepan halangan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Pakatan Harapan (PH) kekal wujud dan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

“Pakatan Harapan belum didaftar. Logo dan simbolnya belum disah. Segala surat kepada Pendaftar Pertubuhan tidak dijawab. Tetapi dalam pandangan rakyat Pakatan Harapan sudah wujud dan tetap akan bertanding dalam PRU14,” kata Dr Mahathir mengenai tindakan RoS yang masih belum meluluskan permohonan pendaftaran dan logo PH walaupun gabungan pembangkang itu sudah berulang kali membuat permohonan.

“Bersatu akan menyumbang kepada kekuatan dan kemenangan Pakatan Harapan. Kita juga akan mengambil bahagian dalam kerajaan baru yang akan mengambil alih dari Barisan Nasional, Insyaallah,” kata negarawan berusia 93 tahun itu.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian pada ucapan dasarnya di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu di Shah Alam hari ini.

AGM itu dihadiri oleh 941 daripada 983 perwakilan berdaftar dari 137 bahagian dengan pemerhati dari 21 bahagian lain.

Pemimpin PH lain seperti Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin Amanah Muhamad Sabu, Khalid Samah dan Dr Dzulkifli Ahmad dan DAP, Tan Kok Wai, Teresa Kok dan Liew Chin Tong juga menghadiri AGM itu.

RoS memberitahu Bersatu yang dibentuk tahun lepas untuk mengadakan AGM kerana salah itu adalah salah satu sebab mengapa pendaftaran PH sebagai gabungan pembangkang tertangguh.

Dr Mahathir berkata kekuatan Bersatu terletak pada pengalaman, dan menyifatkan parti itu tidak wujud untuk dirinya, atau Presiden Muhyiddin Yassin atau pemimpin lain.

“Yang akan bertanding pada PRU 14 melalui PPBM (Bersatu) ialah rakyat, rakyat melawan pemerintahan zalim kuku besi. Undi yang diperolehi ialah undi untuk rakyat, bukan undi rakyat untuk kedudukan pengerusi, presiden, kepimpinan Pakatan Harapan atau pengerusi, presiden dan kepimpinan PPBM (Bersatu).

“Perjuangan PH dan PPBM (Bersatu) bukan seperti Umnp dan BN yang hanya untuk Najib jadi PM,” kata bekas presiden Umno selama 22 tahun itu.

Katanya lagi, Umno sudah dirampas oleh Najib dan bukan lagi milik rakyat.

Katanya, undi untuk Umno hari ini adalah undi untuk kleptokrasi, dakwaan yang dilaungkan olehnya selama ini kepada kerajaan BN berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda.

Berjuang bersama-sama

Ketika wujud ura-ura yang kemelut sedang berlaku dengan PKR kerana cadangan menamakannya sebagai calon perdana menteri pembangkang, Dr Mahathir mengatakan perlunya Bersatu untuk berdiri di belakang PH.

“Tetapi kita harus sedar dan akur bahawa kita sendiri tidak mungkin mengalahkan parti Najib yang mempunyai 13 buah parti dalam gabungan Barisan Nasional. Untuk menang kita perlu bergabung dengan parti-parti yang berhaluan sama dengan kita. Sekarang kita sudah tubuh Pakatan Harapan - gabungan empat buah parti sehaluan.”

Katanya, walaupun PKR, Amanah dan DAP akan bertanding di banyak kerusi pada PRU14, mereka perlu berpadu dan bekerjasama.

“Dalam kebanyakan kawasan ini calon yang bertanding adalah dari parti lain dalam Pakatan Harapan. Tetapi kita perlu kerja kuat untuk memberi kemenangan calon dari lain parti dalam Pakatan Harapan. Kita perlu tentukan calon dari parti lain ini mendapat kemenangan.” – 30 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen