Dr Mahathir masih boleh main peranan dalam Pakatan, kata Dzulkefly


Nabihah Hamid Chan Kok Leong

Dr Dzulkefly Ahmad berkata Pakatan Harapan tidak boleh bersandar dengan kelemahan musuh politik bagi menghadapi PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Februari, 2021.

DR Mahathir Mohamad masih boleh menjadi menteri mentor atau menteri kanan jika beliau masih mahu memainkan peranan dalam Pakatan Harapan, kata ahli strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

“Ini boleh menjadi formula menang-menang dalam Pakatan untuk hadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15),” kata Dr Dzulkefly kepada The Malaysian Insight.

“Sekarang ini, Pakatan jelas bahawa calon perdana menteri untuk PRU15 adalah Anwar Ibrahim.

“Idea bahawa Dr Mahathir boleh menjadi perdana menteri sementara tidak lagi muncul namun dia boleh main peranan jika dia mahu, jika kami menang.”

Dr Dzulkefly, yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor, berkata bahawa walaupun Pakatan memenangi PRU14 kerana strategi tiga penjuru Barisan Nasional (BN) yang memakan diri, dan gabungan Dr Mahathir dan Anwar, ia mesti mengorak langkah ke hadapan.

Beliau mengulas pertelingkahan antara Dr Mahathir dan presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai siapa yang harus menjadi perdana menteri seterusnya.

Bekas menteri kesihatan itu, bagaimanapun, memperingatkan bahawa Pakatan hanya boleh menang jika ada “penyelarasan besar-besaran” sebelum perbincangan “gabungan besar” selepas PRU15.

“Penyelarasan besar” ini melibatkan semua parti pembangkang bagi menyatukan kata, visi bersama.

“Pakatan dan parti pembangkang lain seperti Warisan, Pejuang dan Muda mesti mempunyai tujuan yang sama.

“Bergantung pada kelemahan lawan sahaja tidak cukup. Strategi kami mesti berdasarkan kekuatan sendiri dan kami sudah tentu tidak boleh pandang rendah Perikatan Nasional, BN atau Muafakat Nasional walaupun mereka berpecah sebelum PRU15. “

Beliau turut berkata bahawa Pakatan masih mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

“Kami terikat dengan visi untuk melihat Malaysia yang lebih inklusif di mana tidak ada ‘ketuanan’ atau isu diskriminasi kaum yang sempit.

“Pakatan mempunyai matlamat yang sama, selain kejelasan tujuan dan visi tidak seperti lawan kami,” tambah Dzulkefly lagi. – 13 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen