Kumpulan budaya, kuil raikan Tahun Baru Cina dalam talian


Angie Tan

Kuil Dong Zen di Jenjarom mengubah aktivitinya secara dalam talian dan orang ramai boleh melihat pertunjukan cahaya tahunannya dalam talian secara realiti maya. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Februari, 2021.

MASYARAKAT Cina meraikan tradisi dan budaya Tahun Baru Cina secara dalam talian ketika negara masih berada dalam suasana perintah kawalan pergerakan (PKP).

Daerah Jenjarom di Selangor adalah salah satu kawasan dengan masyarakat Cina memanfaatkan sepenuhnya ruang maya untuk merayakan Tahun Lembu dalam kalendar Cina kali ini.

Kuil Dong Zen yang terkenal di Jenjarom mengubah aktivitinya secara dalam talian dan orang ramai boleh melihat pertunjukan cahaya tahunannya dalam talian secara realiti maya (VR).

Presiden kuil, Ang Boon Seng berkata kepada The Malaysian Insight yang Jenjarom sering menjadi titik pertemuan bagi semua kumpulan masyarakat tempatan untuk kegiatan budaya dalam memupuk kesatuan komuniti itu.

Inisiatif “Happy Village” sudah dibuat sejak tujuh tahun lalu, sementara pertunjukan cahaya telah berlangsung selama 16 tahun.

“Tahun ini, kami melakukan aktiviti budaya secara dalam talian,” kata Ang.

Beliau berkata kampung itu memutuskan untuk menghentikan perayaan tahun ini ketika keadaan pandemik Covid-19 tidak memperlihatkan keadaan bertambah baik sejak dua bulan lalu, sebaliknya menggantikan keraian itu dengan melaksanakan aktiviti sambutan secara dalam talian.

“Anda boleh kata kami sudah buat satu perkara luar biasa tahun ini, atau kami berjaya ubah krisis menjadi peluang. Kerana selepas memutuskan beraya dalam talian, kami terima respons di luar jangkaan,” kata Ang.

Tahun ini, Happy Village menyusun 10 aktiviti, termasuk aktiviti kebudayaan, pertunjukan antik dan aktiviti kulinari, kesemua program itu boleh disaksikan di saluran YouTube “Happy Village Jenjarom”.

“Anda boleh menontonnya berulang kali dalam talian, terutamanya kepada mereka yang tak dapat keluar semasa musim perayaan ini, semua anggota keluarga boleh menonton aktiviti ini bersama-sama dalam talian.

“Kami sebenarnya mendapat sambutan lebih baik untuk aktiviti kali ini kerana anda khalayak yang lebih besar dalam talian,” katanya lagi.

Ang berkata walaupun mendapat sambutan hebat, beliau masih berasa terkilan apabila unsur kebersamaan bersama masyarakat tidak dapat dinikmati.

“Jika wabak ini berakhir tahun depan, kami akan menghidupkan kembali aktiviti tersebut secara langsung, dan teruskan platform dalam talian ini supaya orang yang ingin mengelak dari berkumpul beramai-ramai masih dapat menonton aktiviti tersebut,” katanya.

Prosedur operasi standard (SOP) terkini kerajaan untuk perayaan dan aktiviti kebudayaan Tahun Baru Cina mengehadkan jumlah individu yang dibenarkan menziarahi kuil dan rumah ibadat.

Bagaimanapun, Dong Zen akan terus menutup pintunya untuk sementara waktu dan turut mengubah operasinya secara dalam talian supaya orang ramai dapat turut serta dalam upacara ritual dalam talian.  – 12 Februari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen