Sultan Selangor titah ikut nasihat KKM sambut Tahun Baru Cina


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan orang ramai supaya mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan ketika meraikan sambutan Tahun Baru Cina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan orang ramai supaya mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) ketika meraikan sambutan Tahun Baru Cina, semasa negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Istana Alam Shah dalam satu hantaran di Selangor Royal Office Facebook hari ini berkata Sultan Selangor juga dalam titah baginda mengharapkan seluruh rakyat Malaysia kekal tenang, dan sentiasa berwaspada, semasa pentadbiran negara berusaha melaksanakan langkah-langkah bagi memelihara keselamatan dan kesihatan semua.

“Baginda turut bertitah mengingatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan yang sesak dan sempit, di samping sentiasa mengekalkan jarak selamat.

“Sultan Sharafuddin juga mahukan supaya rakyat sentiasa menginsafi pengorbanan mereka yang bertungkus lumus berusaha untuk menjadikan negara lebih selamat semasa pandemik Covid-19, terutama petugas barisan hadapan, termasuk petugas hospital, penguat kuasa, pencuci dan lain-lain lagi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu dalam mengharungi cabaran yang dihadapi negara, baginda menasihatkan seluruh rakyat untuk terus berusaha merebut peluang memulakan perjalanan baharu kearah kebaikan.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut menyampaikan ucapan selamat Tahun Baru Cina kepada yang menyambut perayaan itu, dan mendoakan kesejahteraan serta kebahagiaan buat semua.

“Baginda bertitah Tahun Baru Cina adalah waktu bagi kaum keluarga untuk mengukuhkan tali persaudaraan dan kemesraan. Tradisi turun temurun sejak berzaman membantu dalam mengingatkan generasi muda kita kepada kepentingan persaudaraan.

“Dalam semangat ini, Sultan Selangor mendoakan keselamatan, kebahagiaan, kesihatan, kejayaan, diri semua, dan keluarga di tahun baru ini,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 11 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen