Fahmi Fadzil: Berteater untuk mencari jawapan, berpolitik demi perubahan


Amin Iskandar

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), The Malaysian Insight mendekati muka baru politik yang dilatih parti mereka untuk menjadi calon. Salah satu keluhan dalam kalangan pengundi adalah kekurangan pemimpin muda politik yang berwibawa baik di parti pemerintah mahupun pembangkang, malah ketua utama parti politik kini adalah mereka yang sudah bergelumang dalam politik sejak 1980-an lagi. Di manakah orang muda yang akan meneruskan perjuangan politik Malaysia? The Malaysian Insight bercakap kepada penggiat teater Fahmi Fadzil mengenai persamaan antara seni dan politik.

FAHMI Fadzil adalah wajah yang dikenali dalam Pakatan Harapan (PH), yang sering mengacarakan majlis gabungan parti pembangkang, dan merupakan individu di belakang tabir yang banyak kenyataan akhbar PKR yang dihantar kepada petugas media secara langsung melalui WhatsApp sebagai pengarah komunikasi parti.

Beliau kini dilihat sebagai salah satu wajah muda PKR yang mungkin bakal ditonjolkan pada PRU14, dan terdapat spekulasi beliau akan menjadi calon kerusi Parlimen Lembah Pantai, menggantikan Nurul Izzah Anwar, ketika naib presiden PKR itu dikhabarkan akan bertanding di Johor atau Pulau Pinang.

Ketika ditanya tentang kemungkinan itu, Fahmi bagaimanapun mengatakan tidak pasti sama ada bakal diletakkan sebagai calon ataupun tidak.

“Soal bertanding atau tidak, biar pucuk pimpinan PKR yang tentukan,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

Akan tetapi, Fahmi dilihat bergerak aktif bekerja untuk penduduk di Lembah Pantai, menguatkan lagi spekulasi bakal diletakkan di kerusi Parlimen itu.

Fahmi berkata beliau tidak pernah menyesal meninggalkan pekerjaannya sebagai seorang jurutera kimia di sebuah syarikat Jepun untuk terlibat sepenuh masa dengan teater.

Tidak lama selepas membuat perubahan itu, beliau sekali lagi membuat langkah drastik - kali ini, terjun ke dalam dunia politik.

Beliau mendapati kedua-duanya - teater dan politik - berkaitan rapat.

“Keinginan dimiliki pihak yang mempunyai kuasa mempengaruhi sesebuah masyarakat. Banyak produksi teater saya menggambarkan ini,” kata penulis dan pelakon dalam “Second Link” dan “Dua, Tiga Dalang Berlari”.

Penglibatannya dalam politik didorong rasa cintanya terhadap seni dan teater, ketika beliau meneroka tema keadilan dan pembaharuan melalui persembahan dan puisi semasa menyertai demonstrasi politik.

Pemerhatian beliau tentang politik yang menggemparkan Malaysia berikutan penyingkiran Anwar Ibrahim daripada Kabinet Dr Mahathir Mohamad, serta pergerakan “reformasi” yang dibentuk pada 1998, membantu membentuk kepercayaan politiknya.

Fahmi, yang merupakan Artis Harapan pada Anugerah Seni Boh Cameron 2006, adalah anak kepada pegawai kanan kerajaan dan membesar dengan pengamatan terhadap ibu bapanya melakukan kerja masyarakatan.

Atas nasihat ayahnya, beliau menolak peluang belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berprestij selepas sekolah rendah.

“Ada dapat tawaran untuk pergi MCKK, tetapi ayah tidak izinkan. Katanya tidak mahu saya membesar dalam suasana sekolah berasrama penuh. Dia hendak saya berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Selepas menamatkan sekolah menengah, Fahmi melanjutkan pengajian kejuruteraan kimia di Amerika Syarikat pada 2001.

Beliau berada di sana ketika serangan New York World Trade Center berlaku pada 11 September, dan kemudian menyertai demonstrasi melawan perang Afghanistan pada tahun yang sama serta perang Iraq pada 2003.

Fahmi berkempen untuk PKR di Lembah Pantai sejak 1999 apabila parti itu masih dikenali dengan nama “Parti Keadilan Nasional”.

Beliau bukan ahli tetapi membantu peguam Zainur Zakaria untuk menentang calon Barisan Nasional (BN), Shahrizat Abdul Jalil.

“Itulah kali pertama saya terlibat dalam pilihan raya. Gantung poster dan macam-macam lagi saya buat.

“Apabila keluar keputusan, saya kecewa. Macam mana boleh kalah?” katanya.

Beliau kemudian menyertai PKR sebagai setiausaha politik Nurul Izzah dan ketua penerangan cawangan Lembah Pantai pada 2010.

Lelaki berusia 36 tahun, yang masih menjadi ahli Five Arts Centre, juga merupakan timbalan setiausaha agung dan naib ketua Pemuda PKR, selain peranannya sebagai pengarah komunikasi.

Berikut adalah petikan daripada temu bualnya dengan TMI.

TMI: Sejarah penglibatan dalam politik?

Fahmi: Selepas kembali ke Malaysia dari AS, pada hujung 2003, salah satu daripada protes pertama yang saya turut serta ialah penyerahan memorandum membantah kematian dalam tahanan di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Waktu tu saya hadir sebagai perakam. Saya cuma minat nak pergi tengok macam mana keadaannya. Saya ambil video.

Antara yang hadir waktu tu Sivarasa Rasiah (kini naib presiden PKR dan ahli Parlimen Subang), Elizabeth Wong (kini exco kerajaan Selangor), Xavier Jayakumar (kini Adun Seri Andalas), Fahmi Reza (aktivis) dan ramai lagi.

Waktu protes mula awal. Pukul 8.00 pagi saya sudah sampai. Lebih kurang pukul 9.30 pagi, Fahmi Reza antara yang paling awal ditangkap kerana membawa sepanduk yang polis anggap provokatif.

Ketika ditangkap, bajunya koyak. Kamipun cuba hendak meleraikan keadaan. Kemudian berlaku keadaan yang agak tegang dan polis meminta kami bersurai.

Sivarasa ketika itu ke depan mewakili yang hadir untuk berunding dengan pihak polis tetapi tidak lama selepas itu keluar water cannon dan semua kena sembur.

Saya ditangkap kerana semasa kejadian merakam Tian Chua (Chua Tian Chang, kini naib presiden PKR dan ahli Parlimen Batu) ditangkap.

Saya ditahan kerana merakam Tian Chua kena tahan! Kemudian ada 34 orang kesemuanya yang ditahan di Balai Polis Hang Tuah, depan Penjara Pudu.

Selepas ditahan lebih kurang lapan jam, kami dibebaskan. Itu antara kenangan pahit manis. Ada perbezaan yang saya nampak antara Malaysia dan AS.

Di sana, mereka lebih menghormati kebebasan berhimpun. Protes pertama yang saya sertai lepas balik ke Malaysia, saya kena tangkap!

Fahmi Fadzil political beliefs were shaped by his observation of Malaysia's tumultuous politics following Anwar Ibrahim's removal from Dr Mahathir Mohamad's cabinet. – The Malaysian Insight pic by Najjua Zulkefli, December 30, 2017.

TMI: Penglibatan protes era reformasi?

Fahmi: Saya ada sewaktu Anwar menyampaikan ucapan di Masjid Negara pada 1998. Ketika tu saya belum habis belajar tingkatan lima.

Saya turun kerana hendak tahu apa yang berlaku. Kenapa orang seperti hendak turun memprotes? Ketika itu tidak minat mengenai politik tetapi nampak macam ada sesuatu berlaku.

Kenapa orang keluar? Kena tangkaplah, kena pukullah. Kalau berkempen pilihan raya sejak 1999, bantu Zainur Zakaria di Lembah Pantai.

Pilihan raya 2004 pula membantu calon PRM Sivarasa Rasiah di Petaling Jaya Utara. Pilihan raya 2008 kembali bantu Sivarasa, tetapi ketika hari penamaan calon, saya turun ke Lembah Pantai.

Alasannya sebab dekat dengan rumah dan ramai kawan-kawan membantu. Nampak Nurul Izzah dan ramai orang.

TMI: Selepas kembali dari AS, anda kerja di mana?

Fahmi: Selepas balik, saya kerja di sebuah syarikat Jepun sebagai jurutera kimia, selama dua tiga bulan. Saya rasa terkongkong kerana kerja di kilang dalam bahagian Research and Development.

Tiba-tiba rasa apa yang saya belajar dulu dengan apa yang saya nampak sangat berbeza. Rasa macam hendak take a break daripada kerjaya.

Kemudian, saya membantu kawan-kawan mengajar budak-budak, buat teater. Bagi saya teater dan politik sangat dekat.

Teater adalah satu persembahan yang mengungkapkan keadaan realiti atau pun cerita tentang keadaan masyarakat.

Masyarakat itu sama ada terbentuk atau pun terurai akibat nafsu orang yang berkuasa. Banyak daripada persembahan-persembahan teater saya begini.

Sebab politiklah saya terlibat dengan seni. Sebab saya nampak ada pergolakan dalam masyarakat. Ada banyak yang saya nak tanya. Kalau baca akhbar, tengok TV, tidak dapat jawapan.

Jadi, saya rasa buntu. Sya olah dengan banyak dengan menulis sajak, berjumpa dengan kawan-kawan dan kemudian luahkan perasaan melalui teater.

Mak dan ayah saya kerja kerajaan sewaktu berlaku reformasi. Justeru, kami tidak bercerita sangat mengenai apa yang berlaku sebab mak penyokong kuat Anwar dan ayah penyokong kuat Dr Mahathir.

Jadi, keadaan di rumah waktu itu tegang. Kami tidak bincang soal politik. Saya nampak, bagaimana Anwar diperlakukan waktu itu. Sangat tidak wajar, tidak adil dan zalim.

Begitu juga apa yang dilakukan kepada penyokong Anwar. Semua tangkapan, cara orang dihumban. Diikuti dengan kes liwat pertama. Semua ni, saya tidak tahu macam mana nak lepaskan perasaan, macam tidak tahu nak pergi ke mana.

Semasa tu mana ada Facebook, mana ada sosial media. Sosial media pada waktu itu ialah bergaul dengan kawan-kawanlah, secara fizikal.

TMI: Apa yang mendorong Fahmi menyertai PKR?

Fahmi: Selepas tsunami politik pada 2008, masih belum banyak online media. Tidak ada online show.

Saya dan dua orang kawan, Mark Teh dan Hardesh Singh memulakan satu program “The Fairly Current Show”.

Kami mula menemuramah orang, tanya soalan yang pendek-pendek. Kami sudah wawancara daripada nelayan di Pengerang pasal Pulau Batu Puteh, hingga kepada bekas pesuruhjaya tinggi United Kingdom ke Malaysia.

Simon Sipaun, Marina Mahathir dan ramai aktivis lain. Salah seorang individu yang kami wawancara ialah Nurul Izzah.

Ketika itu saya rasa okay, daripada apa yang beliau katakan macam ada persamaan. Mungkin cara kami berfikir. We are on the same wave length.

Dan saya anggap beliau sebagai seorang anak muda yang patut dibantu. Dan pada 2008, Nurul Izzah, Hannah Yeoh, Nik Nazmi Nik Ahmad, ramai yang masuk.

First time kita nampak, anak muda bawah umur 30 tahun, first time bertanding dan dapat berkhidmat sebagai wakil rakyat. Nurul Izzah menjemput saya menyertai parti. – 30 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen