Budak lelaki 3 tahun jadi punca kebakaran pangsapuri di New York


Keadaan pangsapuri lima tingkat di 2363 Prospect Avenue, Bronx, New York yang terbakar. – Gambar fail EPA, 30 Disember 2017.

SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun yang bermain dengan dapur memasak menjadi punca kebakaran pangsapuri di New York, yang mengorbankan 12 orang, termasuk empat kanak-kanak, kata ketua jabatan bomba bandar raya itu pada Jumaat Jumaat.

“Kami mendapati api ini bermula di dapur tingkat satu. Ia bermula daripada seorang budak lelaki, berusia tiga setengah tahun, bermain dengan dapur masak,” kata Pesuruhjaya Jabatan Bomba Daniel Nigro kepada wartawan.

“Kebakaran bermula dan tidak disedari ibunya. Dia hanya tersedar apabila anaknya menjerit,” katanya.

Ibu kanak-kanak itu kemudian menyelamatkan diri dengan dua anaknya, meninggalkan pintu pangsapuri terbuka, menyebabkan api merebak ke bahagian tangga dan seluruh bangunan.

“Tangga itu bertindak seperti cerobong,” kata Nigro. “Ia menyebabkan api merebak dengan cepat ke tingkat atas sehingga penghuni lain tidak mempunyai masa untuk bertindak.”

Pasukan bomba sampai ke tempat kejadian dalam masa tiga minit, tetapi bagi sesetengah orang, ia sudah terlambat. Lima orang meninggal dunia di tempat kejadian, dan tujuh lagi di hospital tempatan.

Kebakaran berlaku pada petang Khamis di pangsapuri berhampiran Zoo Bronx, salah satu tarikan pelancong paling popular di New York.

Datuk Bandar Bill de Blasio berkata pada Jumaat menyifatkan ia sebagai tragedi kebakaran terburuk di bandar itu sejak suku abad lalu. – AFP, 30 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen