Kera yang makan cabai, kenapa pula ayam riuh sekampung?


SAYA amat terharu apabila terbaca berita berkenaan dengan 15 laporan polis yang dibuat oleh segelintir orang Melayu Kelantan berhubung buku memoir Tommy Thomas.

Sekiranya ditanyakan kepada mereka yang membuat laporan polis tersebut, saya percaya ada dalam kalangan mereka yang memang belum membaca buku yang dipena oleh seorang mantan peguam negara.

Oleh demikian, polis seharusnya menyiasat kumpulan ini sama ada laporan polis palsu dibuat oleh mereka, kerana tanpa membaca buku tersebut, bagaimanakah mereka boleh membuat laporan polis?

Begitu mudahkah pihak polis menerima aduan-aduan yang dibuat oleh orang yang sepatutnya membaca memoir tersebut? Apakah tujuan 15 orang ini sebenarnya dalam laporan polis yang dibuat?

Bagi saya, walaupun sebanyak 134 laporan polis dibuat, buku ini tetap hanya sebuah memoir yang ditulis oleh seorang mantan peguam negara.

Memoir tetap memoir

Mungkin perkara ini luar biasa pada pandangan sesetengah orang, tetapi memoir adalah “rekod tentang sesuatu peristiwa, memoir, riwayat hidup seseorang”.

Sekiranya memoir itu tidak berasas, biar reputasi penulisnya yang terjejas.

Pihak yang terlibat seharusnya mempertikaikan apa yang disebut oleh Thomas. Ini akan dipertimbangkan oleh rakyat sendiri dan bukannya untuk pihak polis terlalu heboh sangat berkenaan memoir seorang mantan peguam negara.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew pun ada membuat kritikan berkenaan dengan beberapa pemimpin negara yang seriwayat dengan beliau, tetapi perdana menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad pada masa itu pun faham itu hanya setakat sebuah memoir. Dr Mahathir tidak pun membawa Lee ke mahkamah.

Memalukan saja apabila perkara ini dihadapkan ke mahkamah dan kes ini sekali lagi mendapat perhatian pihak media antarabangsa. Begitu banyak memoir yang ditulis di seluruh dunia, dan tidak pun berlaku kekecohan seperti ini.

Patutlah Rafidah Aziz dalam komen Facebook beliau menulis, “Siapa makan cili, pasti rasa pedas… sudah terang, masih perlu bersuluh…yang benar tetap benar.”

Saya setuju dengan Rafidah seratus peratus!

Tetapi, saya masih tak faham kenapa ayam pula nak riuh sekampung. Biasanya hanya apabila ayam bertelur baru riuh sekampung.

Pengetahuan umum

Apa yang disebutkan oleh Thomas memang sudah menjadi perkara umum selama ini. Siapakah yang terlibat dalam pembunuhan model Mongol bernama Altantuya itu? Dua orang pegawai Unit Tindakan Khas? Apa kaitan mereka dengan Altantuya pula?

Siapakah yang terlibat dalam kes skandal 1MDB? Ke akaun bank siapakah wang tersebut dimasukkan? Walau macam mana perkara ini cuba disembunyikan, akhirnya terbongkar juga oleh pihak-pihak berkuasa seperti Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Dalam satu kes mahkamah tinggi tempatan juga perkara ini sudah diketahui umum. 

Perbezaannya adalah kerana Thomas lebih ketara dan diceritakan dengan lebih terperinci dan mudah dibaca.

Walaupun pangkat Tan Sri yang diberikan kepada Thomas mungkin ditarik balik atas desakan segelintir orang yang bersama dengan bos mereka, tetapi rakyat akan tertanya-tanya mengapa pangkat Datuk dan Datuk Seri yang diberikan kepada orang yang kurang sopan dan berkelakuan samseng?

Selama ini, banyak lagi kes rasuah melibatkan ahli politik yang belum lagi dihadapkan ke mahkamah.

Apa yang rakyat mahu adalah supaya kes rasuah ini dihakimi, ramai yang terlibat dalam kes ini, masih bebas sementara seorang peguam yang berprinsip dan telus pula dikecam sekuat-kuatnya.

Saya percaya sekiranya Thomas dihadapkan ke mahkamah atau dipenjarakan, ramai antara kami sebagai rakyat negara ini, akan amat hampa dengan cara kerajaan mempertahankan kebebasan bersuara di sebuah demokrasi pada abad ke21. – 10 Februari, 2021.

* Stephen Ng ialah pembaca The Malaysian Insigjht.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen