Menteri perlu penuhi kriteria sebelum dibenar jalani kuarantin 3 hari


Ravin Palanisamy

Menteri Kabinet yang tidak memenuhi syarat 'gelembung perjalanan' perlu menjalani 10 hari kuarantin wajib. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2021.

MENTERI Kabinet yang ingin memendekkan tempoh kuarantin kepada tiga hari perlu mematuhi syarat “gelembung perjalanan” di bawah Seksyen 29 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata menteri yang tidak memenuhi syarat tersebut harus menjalani 10 hari kuarantin wajib.

“Terdapat perincian yang perlu dijelaskan untuk mendapatkan gelembung ini. Jika ia dipenuhi, barulah kita boleh mempertimbangkan tiga hari kuarantin.

“Sebelum berlepas, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada Kabinet untuk persetujuan dan selepas ia dipersetujui, kami akan melihat urusan rasmi dalam jadual mereka dan juga prosedur operasi standard (SOP).

“Jadualnya mesti singkat, padat dan tidak boleh melibatkan banyak orang di tempat awam,” kata Noor Hisham pada sidang media hari ini ketika ditanya mengenai pengecualian kuarantin yang diberikan kepada menteri.

Beliau juga berkata salah satu syaratnya ialah menteri melakukan perjalanan dengan jet peribadi dan bukan penerbangan komersial.

Tempoh kuarantin tiga hari tidak dibenarkan jika mereka melakukan perjalanan dengan penerbangan komersial dan jika ada kriteria tidak dipenuhi, maka mereka harus mematuhi tempoh kuarantin 10 hari, tambahnya.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba malam tadi mengumumkan anggota Kabinet hanya perlu dikuarantin selama tiga hari dan bukannya 10 hari selepas kembali dari luar negara.

Mulai hari ini, menteri yang pulang dari tugas rasmi di luar negara akan dikecualikan daripada Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Arahan akan berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021.

Bagaimanapun, Noor Hisham menegaskan sebahagian daripada warta mengatakan menteri masih boleh ditempatkan dalam kuarantin yang lebih lama, sehingga mereka didapati tidak lagi menjadi ancaman kepada orang ramai.

“Dalam urutan itu, selain kuarantin tiga hari, terdapat bahagian ‘atau’, yang penting kerana ini membolehkan seseorang diletakkan di bawah kuarantin atau pemantauan selama tujuh, 14 atau bahkan hingga 21 hari,” katanya.

Selepas menteri kesihatan menandatangani pewartaan itu, rakyat Malaysia, termasuk ahli politik, mengecam tindakan tidak adil itu.

Media sosial hari ini menyaksikan desakan pengunduran diri Adham , yang mengumumkan pengecualian itu. – 9 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen