Rakyat terima bantuan kerajaan, perniagaan pajak gadai merudum


Angie Tan

Pemilik kedai pajak gadai mengeluh dengan perniagaan mereka yang semakin merudum sejak pandemik dan pelaksanaan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2021.

LANGKAH diambil kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia mengatasi kesukaran ekonomi memberi kesan buruk kepada kedai pajak gadai - yang menyaksikan perniagaan mereka merudum hingga 30% sejak Januari.

Peniaga pajak gadai memberitahu The Malaysian Insight yang perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac lalu memberi kesan hebat kepada rakyat dan keadaan mendesak yang memerlukan wang tunai segera, mendorong mereka mencari jalan keluar dengan menggadaikan barangan berharga yang dimiliki.

Namun setahun kemudian, dengan pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan untuk membantu mengurangkan masalah kewangan rakyat, tiada lagi barisan pelanggan di depan kedai pajak gadai semasa pusingan kedua PKP, kata mereka.

Presiden Persatuan Pajak Gadai Malaysia Tan Ho Keng berkata tidak ramai pelanggan datang menggadaikan barang berharga mereka semasa PKP 2.0. 

Sebaliknya, ramai memilih untuk menebus barang gadaian menyebabkan perniagaan jatuh.

“Dalam tempoh ini, peniaga dalam industri mengeluh kerana keseluruhan perniagaan mereka menurun 20 hingga 30%,” katanya.

Beliau berkata walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19, kerajaan telah memperkenalkan sejumlah langkah untuk meringankan beban rakyat.

“Ramai yang boleh mengeluarkan simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) mereka dan ada pelbagai subsidi kerajaan.

“Dan dengan wang tambahan, orang juga memilih menebus barang berharga mereka yang digadaikan.”

Beliau juga tidak melihat peningkatan jumlah pelanggan mengunjungi pajak gadai walaupun Tahun Baru Cina semakin hampir.

Tan berkata masyarakat Cina tidak akan berbelanja banyak untuk menyambut perayaan kerana tidak boleh ke mana-mana disebabkan wabak.

“Semua orang akan berusaha berjimat dan tidak akan menghabiskan banyak wang pada Tahun Baru, jadi tiada siapa akan menghadapi masalah kewangan dan tidak dapat merayakan Tahun Baru Cina.”

Beliau menambah jika perniagaan berterusan begitu, ia akan menyukarkan industri bertahan, terutama bagi kedai yang baru dibuka.

“Akhirnya, tidak dapat dielakkan lagi kita akan melihat penutupan pajak gadai. Bagaimanapun, jika keadaan berlanjutan terlalu lama tanpa sebarang pendapatan, sangat sukar untuk terus bertahan.”

Sementara itu, Bryan Ang Jia Jun dari Pajak Gadai Bandar Puteri Klang Sdn Bhd berkata wabak itu bukan satu-satunya punca industri suram.

Beliau berkata kebanyakan pelanggan adalah golongan yang berusia, daripada zaman orang suka mengumpulkan barangan emas.

“Pelanggan lama tahu bagaimana mengumpul barangan emas tetapi orang muda tidak begitu berminat. Kalaupun ada, hanya barang kemas kecil,” kata Ang yang memiliki lima kedai pajak gadai di seluruh negara, yang sebahagian besarnya berurusan dengan barang kemas emas dan jam tangan mewah.

Beliau berkata kedai pajak gadai berdepan lebih kesukaran pada tahun lalu apabila mereka dilarang beroperasi pada awal PKP.

“Industri ketika itu menghadapi masalah, rugi sewaan, gaji pekerja, dan bil utiliti, tetapi sekarang ia kembali beroperasi, semua masalah akan diselesaikan,” katanya.

Negara kini berada di bawah PKP hingga 18 Februari, dan ia dijangka dilanjutkan dengan jumlah harian kes Covid-19 masih dalam empat digit.

Di bawah PKP 2.0 banyak sektor dibenarkan beroperasi, tetapi dengan adanya protokol kesihatan yang ketat. – 10 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen