Rafidah tidak setuju gesaan haram buku Tommy Thomas


Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz berkata sesiapa pun tidak berhak untuk menggesa buku Tommy Thomas diharamkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2021.

TIADA siapa berhak untuk menggesa buku Tommy Thomas diharamkan, kata Rafidah Aziz.

“Thomas telah menulis memoirnya. Kita mungkin ada pandangan berbeza namun ia tidak memberi hak kepada sesiapa untuk menggesa pengharaman buku itu,” kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri menerusi posting di Facebook.

Memoir bekas peguam negara bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” menimbulkan rasa kurang senang selepas beberapa tokoh yang dinamakan dalam buku itu seperti bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas peguam negara Apandi Ali dan bekas perdana menteri Najib Razak mempertikaikan kenyataan versi Thomas berhubung beberapa isu.

Thomas turut disiasat polis selepas banyak laporan dibuat berhubung memoirnya, manakala pengkritiknya turut menggesa buku yang laris dan kini sedang menunggu cetakan ketiga itu diharamkan.

“Ini adalah trend yang membimbangkan apabila tidak ada ruang untuk perbezaan pendapat, dan kepelbagaian pandangan.

“Sudah pasti kita tidak boleh biarkan tindakan menghasut dan tindakan memfitnah tetapi tidak siapa yang mengambil tindakan terhadap beberapa kesalahan, dan salah tafsiran fakta oleh beberapa individu… walaupun sudah viral di media sosial mengenai mereka,” kata Rafidah.

Beliau berkata memoir adalah catatan sejarah, atau biografi, berdasarkan pengetahuan peribadi dan pandangan seseorang.

“Adakalanya perkara yang sama boleh dilihat dari sudut berbeza oleh orang yang berbeza,” katanya.

“Saya tidak mahu memberi komen mengenai perundangan kerana saya bukan peguam, tetapi penting untuk diingat bahawa mana-mana orang yang menulis memoir peribadinya tidak boleh dipaksa untuk melihat sesuatu dari sudut pandangan analisis pembaca atau pandangan pengulas,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa ada pihak yang terburu-buru mengambil tindakan undang-undang atau membuat laporan polis berhubung buku berkenaan, atau menggesa ia diharamkan.

“Adakah kita berubah kepada diktator?” katanya.

Tambah Rafidah tidak salah bagi seseorang untuk mempunyai tafsiran sendiri mengenai peristiwa sejarah terutama dari perspektif politik.

Rafidah yang turut berkongsi pandangan mengenai buku itu berkata beliau mempunyai perasaan yang bercampur-campur terhadap buku itu, termasuk merasa sedih, kecewa dan lega.

“Memoir Tommy dapat menambah koleksi pelbagai pandangan mengenai beberapa peristiwa masa lalu. Fakta tidak dapat dinafikan. Bacalah buku ini,” katanya. – 9 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen