Pandemik Covid-19 gugat nilai mahasiswa


SITUASI Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini cukup memberi kesan yang besar terhadap pelbagai sektor dalam kehidupan manusia. 

Salah satu sektor yang turut terjejas adalah sektor pendidikan terutamanya di peringkat pengajian tinggi. 

Situasi ini sudah pasti memberi kesan kepada golongan mahasiswa dalam menjalani kehidupan mereka sebagai seorang yang bergelar mahasiswa.

Umum mengetahui semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia, mahasiswa di institusi pengajian tinggi tidak lagi dibenarkan datang ke kampus untuk mengikuti kelas secara fizikal dan bersemuka dengan pensyarah masing-masing.

Semua sesi pengajaran dan pembelajaran terpaksa dijalankan secara dalam talian, cuma mahasiswa dalam kategori tertentu dan yang memerlukan keperluan makmal dan sebagainya dibenarkan hadir ke kampus dengan syarat-syarat yang tertentu.

Sudah tentu semua itu memberi cabaran yang besar bukan sahaja kepada golongan mahasiswa tetapi juga kepada golongan pensyarah.

Tulisan ini ingin membincangkan kualiti mahasiswa yang bakal dilahirkan kesan daripada pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia khususnya Malaysia pada hari ini.

Sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian menyebabkan golongan mahasiswa kita bakal kehilangan nilai kemahasiswaan mereka.

Bagi memahami perkara ini, kita perlu jelas bahawa sesi pembelajaran yang diterima oleh setiap mahasiswa sepanjang tiga atau empat tahun pengajian bukan hanya berlaku dan tertumpu di dewan kuliah atau di makmal semata-mata. 

Sesi pembelajaran mereka bermula sejak hari pertama mereka mendaftar masuk ke institusi pengajian masing-masing.

Mereka akan mula belajar tinggal di asrama atau rumah sewa dan berjauhan dengan keluarga, menguruskan waktu ulang kaji dan aktiviti seharian di kampus, serta menguruskan wang pinjaman pendidikan atau wang belanja yang dikirim oleh keluarga.

Mahasiswa akan belajar tinggal sebilik dengan kawan yang baru mereka kenal yang dapat melatih mereka untuk bertolak ansur dan menghormati satu sama lain, malah bergaul dengan pelajar-pelajar yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan dari pelbagai daerah dan negeri yang berbeza

Mereka juga akan belajar untuk menguruskan pakaian, makanan, tempat tidur dan lain-lain lagi yang melatih mereka untuk hidup berdikari.

Semenjak pandemik Covid-19 melanda, golongan mahasiswa boleh dikatakan kehilangan sesi pembelajaran ini yang mana ia adalah ilmu yang sangat berguna apabila mereka melangkah keluar dari kehidupan mahasiswa kelak.

Golongan mahasiswa juga tidak lagi boleh terlibat dalam aktiviti–aktiviti sosial dan khidmat masyarakat yang boleh mendekatkan diri mereka dengan komuniti di luar kampus.

Mereka tidak boleh lagi terlibat dalam aktiviti berkumpulan secara bersemuka yang boleh meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi di hadapan orang ramai. Belajar dan berbincang secara dalam kumpulan yang berbentuk fizikal juga tidak dapat dijalankan.

Situasi ini menyebabkan mereka terlepas pembelajaran dan pengalaman untuk mengemukakan idea secara berhadapan, menerima teguran dan berbeza pendapat sesama ahli kumpulan.

Oleh itu, mereka juga akan kehilangan sesi pembelajaran tentang kemahiran untuk berani memberi dan menerima kritikan, mempertahankan idea, menerima perbezaan pendapat, menghormati kepelbagaian dan menguruskan konflik secara profesional.

Mungkin ia boleh dilakukan secara atas talian tetapi nikmatnya tidak akan sama.

Mereka tidak akan dapat pengalaman terlibat dalam aktiviti persatuan pelajar. Oleh itu kemahiran berorganisasi dan kepimpinan tidak akan dapat dipupuk.

Mahasiswa ini bakal menjadi pemimpin kepada negara kita pada masa hadapan. Amatlah malang sekiranya pemimpin masa hadapan hanya mampu berhujah secara dalam talian tetapi gugup dan tidak berkeyakinan apabila berhujah secara bersemuka.

Jika mahasiswa kita hari ini gagal dibentuk menjadi pemimpin yang hebat akibat daripada pandemik Covid-19 ini, siapa pula yang bakal memimpin kita di masa hadapan?

Dengan kata lain, semenjak pandemik Covid-19 ini melanda, golongan mahasiswa kita hanya berpeluang memperolehi ilmu secara formal berdasarkan bidang dan kursus masing-masing sahaja. 

Tetapi mereka tidak akan berjaya memperolehi ilmu yang sepatutnya mereka perolehi melalui pembelajaran secara tidak langsung sepanjang bergelar mahasiswa.

Mereka mungkin berjaya mendapat gred yang cemerlang atau purata nilai gred kumulatif 4.00, tetapi apalah ertinya tanpa kemahiran dan nilai kemanusiaan atau insaniah yang disebut tadi. 

Institusi pengajian tinggi adalah tempat untuk melahirkan manusia yang mempunyai nilai kemanusiaan atau insaniah yang tinggi dan bukan hanya semata-mata melahirkan manusia untuk pasaran kerja.

Kita mungkin boleh melahirkan beribu doktor, peguam atau jurutera tetapi apalah ertinya jika golongan profesional ini tidak mempunyai nilai kemanusiaan atau insaniah yang sepatutnya mereka pelajari secara tidak langsung sewaktu zaman mahasiswa.

Seorang jurutera perlu menjalankan tanggungjawabnya dari jam 8 pagi hingga 6 petang dalam lima atau enam hari seminggu. Tetapi individu perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai manusia selama 24 jam sehari dalam 365 hari setahun selagi mereka bernafas.
 
Oleh itu, amatlah merisaukan sekiranya mahasiswa kita tercicir dari memperolehi kemahiran dan nilai kemanusiaan atau insaniah ini. Ini kerana kemahiran dan nilai ini sebenarnya yang bakal banyak digunakan dalam kehidupan mereka sebagai manusia setelah tamat pengajian kelak.

Akhir sekali, apa yang kita boleh lihat pandemik Covid-19 bukan hanya memberi kesan langsung pada kehidupan hari ini tetapi juga kesan secara tidak langsung kepada pembinaan tamadun manusia pada masa hadapan.

Mungkin pandemik Covid-19 ini boleh berakhir dalam jangka masa satu atau dua tahun lagi, tetapi kesannya pasti akan terus kekal untuk jangka masa yang mungkin lebih lama. 

Ini kerana mahasiswa yang sedang belajar dan terkesan dengan situasi Covid-19 ini bakal menjadi pemimpin, anggota masyarakat, golongan profesional dan penghuni dunia pada masa akan datang.

Oleh itu, semua pihak perlu memikirkan keadah yang terbaik untuk menyelamatkan golongan mahasiswa kita yang sedang terancam pada hari ini. 

Dalam situasi yang penuh mencabar ini kita bukan hanya perlu memikirkan kaedah penyampaian akademik semata-mata tetapi pembinaan nilai insaniah atau soft skills ini juga perlu diberi perhatian sewajarnya.
 
Saya percaya ramai pihak pentadbir institusi pengajian tinggi awam atau swasta sedar dan sedang mencari penyelesaian terbaik untuk masalah ini.

Maka adalah amat baik sekiranya dilakukan sumbang saran bagi melahirkan dan berkongsi idea-idea yang terbaik bagi menyelamatkan golongan mahasiswa kita pada hari ini. Jangan biarkan mahasiswa kita kehilangan nilai kemahasiswaannya.

Bersamalah kita bersatu dalam membawa negara dan dunia keluar dari malapetaka Covid-19 ini. – 9 Februari, 2021.     

* Mohd Zamirul Mohd Dzaki, pensyarah UOW Malaysia KDU Penang University College.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen