Persekutuan Tao mohon lanjut pembukaan tokong untuk perayaan


Hailey Chung Wee Kye

Penganut akan ke tokong untuk berdoa pada hari ke-9 Tahun Baharu Cina iaitu pada 20 Februari.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2021.

KOMUNITI Tao yang menyambut baik pindaan dibuat pada prosedur operasi standard bagi sambutan Tahun Baharu Cina, mahu pembukaan tokong dilanjutkan sehari bagi membolehkan mereka bersembahyang pada Hari Lahir Maharaja Jed atau Tahun Baharu Hokkien.

Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia (FTAM) memberitahu The Malaysian Insight terdapat sedikit kesilapan yang dibuat kerajaan berhubung tarikh dalam SOP dikemaskini yang dikeluarkan pada Ahad.

“Saya ingin mengingatkan bahawa penganut Tao berdoa kepada Maharaja Jed atau Baitiangong pada malam hari ke-9 Tahun Baharu Cina iaitu pada 19 Februari, bermula dari pukul 11 malam dari rumah,” kata presiden FTAM Tan Hoe Chieow.

“Mereka akan ke tokong untuk berdoa pada hari ke-9 Tahun Baharu Cina iaitu pada 20 Februari.”

“Bagaimanapun kami menghargai keputusan kerajaan untuk membenarkan tokong pada 11, 12 dan 19 Februari, tertakluk kepada syarat tidak lebih daripada 30 orang,” kata Tan.

Sebelum ini, sebarang aktiviti di tokong tidak dibenarkan kecuali kepada lima ahli jawatankuasa tokong.

Bagaimanapun di bawah SOP yang diumumkan pada Ahad, penganut dibenarkan memasuki kuil pada hari pertama dan hari ke lapan Tahun Baharu Cina tidak lebih 30 orang pada satu masa bermula pukul 6 pagi hingga 2 petang.

Kementerian Perpaduan Nasional mengatakan bahawa masa 30 minit diperuntukkan dan harus diselangi dengan kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu  berikutnya.

Ia juga mengatakan bahawa aktiviti sembahyang pada 19 Februari bersempena Hari Jadi Maharaja Jed akan terhad di halaman tokong berkenaan pada waktu malam.

Tan berkata, persatuan itu juga mahu kerajaan membenarkan penganut berdoa di kuil pada 20 Februari. – 9 Februari, 2021.

Berita penuh di sini. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen