POLIS menahan 68 individu disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian di 12 kondominium sekitar daerah Dang Wangi, di Kuala Lumpur sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lepas hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kesemua suspek berumur 18 hingga 45 tahun itu terdiri daripada 16 warga tempatan dan 52 warga asing.
“Mereka menggunakan modus operandi dengan menyewa kondominium mewah yang dijadikan sebagai operasi pusat judi dengan kadar sewa bulanan sebanyak RM2,000 hingga RM6,000. Kegiatan itu dikesan beroperasi setiap hari bermula dari 9 pagi hingga 11 malam mengikut syif ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 39 komputer, 238 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM81,539.
Menurutnya, sebanyak 12 kertas siasatan telah dibuka melibatkan lima kes telah dituduh di mahkamah manakala tujuh lagi masih dalam siasatan.
“Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama,” katanya. – Bernama, 8 Februari, 2021.
Komen