Mengenai ‘Crony Capitalism’


Kekayaan awal Robert Kuok banyak berpunca dari perdagangan gula dan beras antarabangsa melalui syarikatnya, Kerry Holdings. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2017.

TIDAK boleh disangkal, Robert Kuok antara ahli perniagaan yang paling berjaya di dunia. Dengan kekayaan mencecah RM55 bilion, beliau manusia ke-40 paling kaya di dunia.

Walaupun kita sangat berterima kasih kepada Robert Kuok atas sumbangannya kepada ekonomi Malaysia, namun beliau harus juga mengingati kejayaannya ketika permulaan hidup hasil pelbagai monopoli dan lesen yang diberikan kepadanya.

Namun, zaman Robert Kuok sudah berakhir dan sekarang Malaysia lebih memerlukan usahawan inovatif seperti Elon Musk, Steve Jobs yang tidak memerlukan monopoli kurniaan kerajaan untuk mengubah dunia.

Antara masalah yang membelenggu ekonomi Malaysia adalah penguasaannya oleh kroni yang menjana keuntungan mudah hasil kurniaan lesen, permit atau kontrak yang membenarkan kroni tersebut memonopoli pasaran dan meningkatkan harga tanpa kebimbangan disebabkan tindak balas pesaing.

Fenomena ini terbukti berleluasa di Malaysia apabila majalah terkemuka, The Economist dalam artikelnya pada 2016 meletakkan Malaysia di tangga kedua kapitalisme kroni di dunia setelah menyimpulkan kebanyakan bilionair di Malaysia terlibat dalam sektor perniagaan yang cenderung kepada rent-seeking.

Rent-seeking adalah usaha untuk menikmati keuntungan tanpa menjana kebaikan ekonomi melebihi keuntungan yang dijana. Antara sektor yang dianggap The Economist sebagai cenderung kepada rent-seeking adalah kasino, komoditi (gula, beras), pertahanan, perbankan, hartanah, tenaga dan komunikasi.

Individu bilionair yang mengaku dirinya tidak pernah menerima bantuan dari kerajaan harus sedar bahawa hampir semua perniagaannya yang berjaya termasuk dalam senarai sektor rent-seeking.

Tidak adil

Hakikatnya majoriti daripada golongan terkaya di Malaysia berjaya hasil daripada kapitalisme kroni yang memerlukan hubungan yang baik dengan pemerintah.

Adalah tidak adil bagi mana-mana pihak khususnya golongan terkaya di Malaysia untuk menafikan sumbangan pelbagai pihak dalam membina kekayaan mereka.

Dalam autobiografinya, Robert Kuok menyatakan sebab beliau berhijrah ke Hong Kong pada 1970-an bukanlah kerana keadaan politik dan kaum di Malaysia tetapi lebih kepada cukai korporat Hong Kong yang sangat rendah iaitu 17%, berbanding 50% di Singapura dan Malaysia.

Kekayaan awal Robert Kuok banyak berpunca dari perdagangan gula dan beras antarabangsa melalui syarikatnya, Kerry Holdings. Robert Kuok sendiri mengaku bahawa Kerry Holdings menjadi makmur hasil “monopoli ajaib” pembekalan gula dan beras ke Indonesia yang “dikurniakan” Presiden Indonesia Suharto, kepada kawan baik Robert Kuok, Yani Haryanto.

Hasil monopoli gula dan beras ke Indonesia, Robert Kuok meraih begitu banyak kekayaan sehingga beliau dapat membeli banyak sekali aset hartanah di Hong Kong sekitar dekad 1970-an pada harga yang jauh lebih murah dari sekarang.

Robert Kuok percaya sesebuah negara perlu mementingkan keagungan perundangan jika ingin maju. Undang-undang apakah yang membolehkan Robert Kuok dan Haryanto memonopoli import gula dan beras kepada Indonesia. Adakah di dunia yang luas ini, tiada orang lain yang mampu melainkan Robert Kuok dan kawan karibnya?

Hina

Menurut Robert Kuok, kaum Cina saja yang memainkan peranan besar membangunkan Asia Tenggara. Kaum India hanya layak merangkul tempat kedua. Kaum pribumi seperti Jawa, Melayu dan Siam pula hanya memainkan peranan sampingan dan hampir tidak relevan dalam pembangunan Asia Tenggara dalam abad ke-20.

Menurut Robert Kuok, kaum Cina saja yang memainkan peranan besar membangunkan Asia Tenggara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2017.

Kepada sesiapa yang berkongsi kepercayaan dengan Robert Kuok, barangkali tiada hujah di dunia yang mampu mengubah kepercayaan ekstrem mereka.

Tidak cukup dengan penghinaan kaum pribumi di Asia Tenggara, Robert Kuok juga mengambil kesempatan mengutuk Jepun sebagai kaum yang hanya tahu memberi kesetiaan buta dan Barat sebagai kaum yang memerlukan persekitaran tenteram untuk meraih keuntungan.

Jelas pada fikiran Robert Kuok, Cina kaum teragung dengan kebolehan berniaga yang tidak boleh ditandingi. Jika seluruh dunia boleh menerima fakta ini, eloklah kalau usaha membangunkan dunia dibiarkan saja kepada Cina semata-mata.

Adil dan saksama

Bagaimanapun, MTEM tetap menghormati kemampuan dan kehebatan semua bilionair dalam membina empayar perniagaan mereka di dalam dan luar negara berdasarkan kelebihan mereka untuk merebut peluang dengan bijak.

MTEM berdoa agar golongan bilionair ini akan terus maju dan terus menyumbang kembali ke negara asal mereka di mana segala-galanya bermula pada kadar yang lebih bermakna.

MTEM percaya dengan kerjasama produktif di antara semua kaum di Malaysia tetapi kerjasama sebegini tidak mungkin tercapai jika ada pihak yang terlalu taksub dengan kepercayaan bahawa kaum mereka adalah yang terunggul tanpa tolok bandingan.

MTEM menyokong dasar afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baru yang mengiktiraf keperluan untuk memberi bantuan kepada golongan yang terpinggir.

Namun, MTEM tidak menafikan pelbagai kesilapan yang telah pun berlaku dan masih berterusan dalam pelaksanaan dasar afirmatif. Oleh itu, sebahagian perjuangan MTEM adalah untuk memastikan dasar afirmatif dilaksanakan dengan penuh adil dan saksama. – 29 Disember, 2017.

* Bahagian Media dan Komunikasi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen