SEKIRANYA laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan peningkatan pengangguran dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di negara ini adalah benar, maka itu adalah petunjuk bahawa kerajaan telah gagal, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
“Saya amat sedih dan marah setelah membaca laporan ini,” katanya merujuk kepada Laporan “Keluarga di Pinggiran” iaitu kajian bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (Unicef) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).
Mengulangi pendiriannya mengenai sekatan pergerakan Najib berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan untuk mengekang penyebaran virus akan memberi kesan lebih buruk dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pendek tetapi ketat.
Beliau berkata PKP 2.0 akan lebih parah dibandingkan dengan yang pertama kerana ramai orang dan peniaga sudah memiliki simpanan dan simpanan mereka sudah habis diguna tahun lalu, bantuan kerajaan juga akan berkurang selain tidak ada penyelesaian untuk masalah tersebut apabila kes Covid-19 tetap tinggi sepanjang PKP.
“Sebab itu, saya berkali-kali suruh kerajaan buat PKP dengan betul dan amat ketat dengan bantuan kerajaan yang sewajarnya supaya kesannya singkat dan tidak perlu dilanjutkan berkali-kali.
“Jangan dibuat PKP separuh masak dengan penuh kelonggaran,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan tujuan PKP yang tidak menyeluruh yang berlaku selama 27 hari terakhir apabila jangkitan baharu tetap tinggi sementara kes aktif mencecah 51,241 kes.
“Dibuat pula benda pelik seperti wujudkan laluan hijau dengan negara Indonesia di mana keadaan Covid tidak kurangnya genting berbanding Malaysia.
“Saya harap spekulasi semakin ramai Rakyat bahawa kerajaan sengaja leka untuk PKP 2.0 ini agar kes Covid tetap tinggi supaya PKP+darurat boleh dipanjangkan adalah tidak benar,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan berkata jika ini terjadi maka ia merupakan penderhakaan paling dasyat kepada rakyat kerana kesihatan dan kesejahteraan rakyat jangka masa panjang sengaja dikorbankan.
Laporan yang dikeluarkan hari ini menunjukkan bahawa pengangguran dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur meningkat dua kali ganda semasa PKPB yang dikenakan semula pada akhir tahun lalu.
Bahagian ketiga kajian bersama Unicef dan UNFPA mendapati kadar pengangguran dalam kalangan isi rumah yang ditinjau naik dua kali ganda kepada 15% pada Disember berbanding 7% pada September tahun lalu.
Manakala satu daripada tiga orang dewasa isi rumah yang ditinjau tidak mempunyai pekerjaan.
Pendapatan dalam kalangan isi rumah yang diketuai wanita dan orang kurang upaya (OKU) pula masing-masing 24% dan 36% lebih rendah berbanding akhir 2019. – 8 Februari, 2021.
Komen