Isteri Pastor Koh tuntut janji Muhyiddin


Hailey Chung Wee Kye

Majlis mengenang kehilangan Pastor Koh dan dua aktivis lain di Hotel Pullman, Bangsar pada November 2019. Sehingga kini mereka masih belum ditemui. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2021.

ISTERI Pastor Raymand Koh, Susanna Liew, menuntut janji Perdana Muhyiddin Yassin untuk menyiasat kehilangan suaminya dan aktivis lain.

Muhyiddin katanya berjanji demikian ketika bertemu Liew dan keluarga aktivis lain yang hilang, ketika menjadi menteri dalam negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jika saya berpeluang bertemu lagi perdana menteri, saya ingin ingatkan beliau tentang janji beliau kepada keluarga kami, juga kepada Norhayati ( Mohd Ariffin ) dan anak-anaknya,” kata Liew pada webinar sempena mengenang kehilangan suaminya Koh, malam tadi.

Norhayati adalah isteri kepada aktivis Amri Che Mat, yang hilang beberapa bulan selepas Koh.

“Beliau (Muhyiddin) mesti selesaikan kes-kes kehilangan paksa kerana ia memburukkan rekod hak asasi manusia negara, dan juga memberi tanggapan tidak baik kepada pelabur.

“Kalau mereka mahu terus melabur, negara ini perlu menjadi tempat yang aman.

“Kerajaan mesti lakukan sesuatu, kerana ia akan memberi kesan yang lebih buruk jika dibiarkan berpanjangan,” katanya. 

Isteri Pastor Raymand Koh, Susanna Liew. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2021.

Koh diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, Selangor pada 13 Februari, 2017. Kehilanggannya disifatkan sebagai kehilangan paksa oleh Suruhanjaya Has Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Webinar malam tadi juga disertai penulis Mariam Mokhtar, yang berkata kehilangan Koh dan aktivis lain tidak harus dipandang sepi.

“Apabila saya ajak orang ramai sertai webinar ini, mereka bertanya ‘siapa dia (Koh)’ dan ‘apa kena mengena dengan kami?’”

“Anda mungkin fikir kehilangannya tiada kena mengena dengan anda, tetapi sebenarnya ada. Kerana ia memberi gambaran mengenai situasi dalam negara.

“Ini adalah rantaian ketidakcekapan, pembohongan dan kontorversi, yang bertujuan untuk menekan rakyat,” kata Mariam.

Pada 2019 Suhakam merumuskan Cawangan Khas dari Bukit Aman bertanggungjawab atas kehilangan Koh dan Amri.

Tahun lalu Liew saman terhadap polis dan kerajaan selepas gagal mendapat sebarang penyelesaian daripada siasatan terhadap kehilangan suaminya. – 8 Februari, 2021.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen