200 hilang, 3 maut, glasier pecah di India


Usaha mencari dan menyelamat kini sedang giat dijalankan di lembah Sungai Dhauliganga di Uttarakhand, India. – Gambar EPA, 8 Februari, 2021.

SEKURANG-kurangnya 200 orang hilang di utara India selepas sebahagian glasier di kawasan pergunungan Himalaya pecah dan jatuh ke dalam sungai, menyebabkan air sungai melimpah ke jalan raya dan jambatan, kata polis.

Tiga mayat dijumpai, manakala kira-kira 20 orang masih terperangkap dalam terowong. 

Usaha mencari dan menyelamat kini sedang giat dijalankan, kata Ketua Polis Uttarakhand Ashok Kumar.

Berdasarkan video yang dirakam penduduk, gelombang air besar melalui lembah Sungai Dhauliganga dan memusnahkan semua yang berada di laluannya.

Kebanyakan mangsa yang hilang pekerja loji jana kuasa berhampiran, kata Ashok.

“Ada 50 pekerja di loji Rishi Ganga dan kami tiada maklumat mengenai mereka, manakala 150 lagi di Tapovan.

“Kira-kira 20 orang terperangkap dalam terowong. Usaha untuk menyelamatkan mereka sedang dijalankan,” tambahnya.

Terowong itu katanya dipenuhi lumpur dan batu. Anggota penyelamat terpaksa menuruni bukit menggunakan tali untuk sampai ke pintu masuk terowong, kata Ashok.

Operasi mencari dan menyelamatkan turut membabitkan anggota tentera. – AFP, 8 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen