Putrajaya berisiko hilang sokongan bukan Melayu, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata kaum bukan Melayu banyak menyumbang kepada ekonomi negara walaupun minoriti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2021.

PUTRAJAYA berisiko kehilangan sokongan daripada kaum bukan Melayu dan ia boleh menjejaskan pertumbuhan negara jika naratif perkauman diteruskan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata ia tidak baik untuk imej negara jika kerajaan mengutamakan agenda naratif perkaumannya.

““Ia akan membawa kepada ketidakstabilan, orang akan meninggalkan negara ini.

“Jika anda menyebabkan mereka keluar, pembangunan negara akan terjejas, malah bertukar menjadi negatif,” kata pemimpin berusia 95 tahun itu kepada portal berita Free Malaysia Today.

Dr Mahathir berkata kaum bukan Melayu banyak menyumbang kepada ekonomi negara walaupun mereka minoriti.

“Orang bukan Melayu berjaya dari segi ekonomi walaupun berada dalam kelompok minoriti,” katanya dalam laporan itu.

Bagaimanapun, anak kelahiran Kedan itu berkata perlu ada keseimbangan kekayaan antara majoriti (Melayu) dan bukan Melayu.

“Jadi perlu keseimbangan antara orang bukan Melayu dan orang Melayu. Kerana seperti yang anda tahu, katakan negara ini hanya ada satu kaum, jika terdapat perbezaan yang terlalu besar antara kaya dan miskin, keadan itu boleh menyebabkan keganasan.

“Jadi penting untuk kita mengimbanginya. Walaupun orang Melayu majoriti, mereka juga paling miskin. Maka, perlu ada keseimbangan dari segi pengagihan kemewahan negara,” katanya. 

Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu portal berkenaan pemimpin yang tamak menyebabkan wujudnya terlalu banyak parti politik.

Beliau berkata ini terbukti di kalangan orang Melayu, sehingga mewujudkan gabungan tidak stabil.

Dr Mahathir menambah selepas Merdeka, ramai sedar yang mereka mampu menjana wang melalui politik

“Apabila anda dipilih sebagai ahli Parlimen atau exco, anda memperoleh pendapatan lumayan. Mereka melihat ini sebagai kaedah memperoleh pendapatan, bukannya khidmat kepada negara. 

“Apabila ini berlaku, sudah tentu terdapat banyak persaingan di kalangan mereka, dengan semua orang mahu menjadi ahli Parlimen atau exco, menjadi menteri, perdana menteri dan sebagainya,” katanya.

Dr Mahathir berkata ketamakan juga menyebabkan tiada parti mendapat majoriti di Dewan Rakyat yang kemudian menyebabkan perlunya membentuk gabungan. – 7 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen