DUA juruterbang syarikat penerbangan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tidak membuang masa melaksanakan Pelan B untuk meneruskan hidup mereka.
Selepas menerima berita diberhentikan, Dinesh Nadarajah, 34, segera memikirkan idea menjual minuman kopi sejuk dan memberitahu rakan juruterbang Surren Kanna, 36, mengenai hal itu.
“Pada 14 September 2020, saya mendapat panggilan, yang memberitahu saya akan diberhentikan.
“Jadi, setelah berurusan dengan emosi dengan berita itu, saya hubungi Surren untuk memberitahunya apa yang berlaku.
“Saya tidak mahu memikirkan soal diberhentikan kerja dan beritahu beliau tentang idea saya untuk menjual minuman kopi,” kata Dinesh, yang merupakan pegawai kanan Singapore Airlines selama hampir 11 tahun, kepada The Malaysian Insight.
Surren pula ketika itu masih bersama AirAsia X namun tidak lagi bertugas sejak Mac tahun lalu. Gaji beliau juga turut dipotong sebanyak 60%, dan sejak November, beliau bercuti tanpa gaji.
Kedua-dua mereka sudah lama berkawan sejak belajar di akademi penerbangan dan menggemari kopi.
Berbekalkan simpanan yang ada, mereka melancarkan “TakeOff coffee” pada 28 Januari lalu bagi memasarkan minuman kopi dengan tema penerbangan.
“Daripada menjalankan perniagaan yang saya tidak tahu, saya pilih sesuatu yang saya tahu dan gemari,” kata Dinesh.
Surren berkata kopi mereka disesuaikan dengan pilihan individu bagi membezakan jenama mereka dengan jenama lain.
“Pelanggan boleh beritahu kami kopi bagaimana yang mereka ingin dan kami akan bikin seperti yang mereka inginkan,” katanya.
Perniagaan tersebut adalah hasil kajian selama empat bulan bagi mendapatkan rasa minuman yang terbaik, tambah Dinesh.
Resipi mereka menggunakan gula organik atau gula apong dari Sarawak untuk minuman yang lebih sihat, selain biji kopi yang dipilih sendiri.

“Gula ini rendah nilai indeks glisemik (GI) dan merupakan gula yang lebih sihat berbanding gula nira nipah.
“Oleh itu, pelanggan boleh memilih kopi tanpa gula, kurang gula, normal atau lebih manis,” katanya.
Kopi mereka adalah sepenuhnya buatan sendiri, dibru dan dibungkus di rumah mereka di Bangsar dan Shah Alam.
Dinesh juga mengikuti kursus barista sejurus selepas diberhentikan. Beliau juga terpaksa menjual keretanya dan mengambil moratorium pinjaman bank untuk terus bertahan dari segi kewangan.
Sebahagian daripada idea beliau untuk menjual minuman itu berasal daripada melihat penumpang kelas pertama di syarikat penerbangan Singapura yang sering memesan kopi Jamaica, Brazil, dan Guatemala dalam penerbangan.
“Kita tidak dapat kopi jenis ini di kedai atau kafe biasa.
“Oleh itu, kami fikirkan untuk bawa pengalaman kelas pertama ini kepada rakyat Malaysia, memberikan variasi kepada pelanggan dengan harga berpatutan, dalam botol 300ml,” kata Dinesh.
Sebotol kopi dijual dengan harga RM11.
Kopi juga diberi nama kapal terbang, sesuai dengan penerbangan mereka.
“Kami ada ‘380 Black’ - sempena Airbus 380 - ‘330 White’ iaitu sempena Airbus 330 dan ‘777 Almond’ bagi Boeing 777,” katanya. – 7 Februari, 2021.
Berita penuh di sini
Komen