Cadangan SOP 'makan besar' sudah diberi tetapi tidak tersenarai, kata kumpulan


Hailey Chung Wee Kye

Had 20 orang yang terdiri daripada ahli keluarga untuk makan malam perayaan Tahun Baru Cina turut dimasukkan dalam cadangan SOP kepada kementerian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2021.

CADANGAN untuk prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina di rumah sudah diberikan kepada Kementerian Perpaduan Negara bulan lalu, namun ia tidak dimasukkan ketika ia diumumkan kepada orang ramai, kata persatuan Cina.

Persatuan berkata kementerian sendiri meminta pandangan mereka, namun pihaknya tidak ditunjukkan deraf SOP tersebut sebelum diumumkan pada 4 Februari.

Had seramai 20 orang yang terdiri daripada ahli keluarga untuk makan malam sempena perayaan Tahun Baru Cina atau turut dikenali sebagai “makan besar” turut dimasukkan dalam cadangan SOP yang diberi kepada kementerian.

Wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Ng Geok Chee, yang menghadiri satu sesi dialog dengan kementerian berkata had 20 orang itu tidak bermakna “hanya ahli keluarga yang tinggal bersama”, seperti dicatatkan dalam SOP yang diumumkan kerajaan.

Ng juga berkata 20 orang itu bermaksud ahli keluarga yang tinggal dalam radius 10km, di samping turut menambah ia adalah pandangan kebanyakan perwakilan dalam pertemuan tersebut.

Pusat Kebudayaan Han Malaysia juga mencadangkan kepada kementerian membenarkan sehingga 20 ahli keluarga bagi makan malam perayaan itu.

“Presiden kami mencadangkan dibenarkan 20 ahli keluarga terdekat untuk makan malam,” kata Mini Goh, pengarah urusan pusat tersebut.

Beliau menambah rundingan itu hanyalah perbincangan mengenai perayaan Tahun Baru Cina, dan bukan mesyuarat untuk menetapkan SOP.

Tiada keputusan atau pengundian dilakukan dalam perbincangan tersebut.

“Orang ramai harus fahami yang kami bukan organisasi berasaskan keuntungan, kami hanya memberikan cadangan,” katanya, sambil menambah bahawa pegawai kementerian yang mengetuai rundingan dalam talian itu mendengar dengan teliti mengenai cadangan tersebut.

Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Dr Johari Yap berkata SOP untuk makan malam beramai-ramai sempena perayaan tersebut “tidak masuk akal”.

“Tiada ‘makan besar’ dalam (SOP yang diumumkan) itu. Kami berharap kerajaan mempertimbangkan untuk benarkan lima hingga 10 orang dari daerah yang sama untuk bersama-sama makan malam, bergantung saiz rumah.”

Beliau menambah tidak terfikir perbincangan dengan kementerian itu adalah mengenai penetapan SOP untuk Tahun Baru Cina.

“Ketika kami diundang kementerian bagi perbincangan dalam talian, ia lebih fokus kepada SOP untuk tempat ibadah di bawah pelbagai tahap kawalan pergerakan,” kata Johari.

Sebanyak 30 kumpulan dinamakan oleh Kementerian Perpaduan Nasional dalam satu kenyataan pada 5 Februari, sehari selepas orang ramai mengecam SOP diumumkan kerajaan,yang dianggap tidak peka terhadap masyarakat Cina.

SOP diumumkan Menteri Kanan dan jurucakap Majlis Keselamatan Negara (NSC), Ismail Sabri Yaakob pada 4 Februari, menghadkan perjumpaan makan malam dan ziarah bagi mereka dari rumah yang sama.

Ia juga melarang perjalanan rentas negeri, aktiviti budaya seperti tarian naga, singa, pertunjukan opera dan pentas serta perarakan tanglung dan juga ritual di rumah ibadat.

Peraturan ini pada mulanya akan berkuatkuasa pada 12 dan 13 Februari, hari pertama dan kedua Tahun Baru Cina, yang secara tradisinya berlangsung selama 14 hari. 

Bagaimanapun, tarikhnya kemudian dipinda menjadi 11, 12 dan 19 Februari.

SOP itu dikritik sejak diumumkan, dengan banyak yang terkejut dengan kejahilan kerajaan bahawa makan malam perjumpaan diadakan pada malam Tahun Baru Cina, bukannya hari raya pertama atau kedua. 

Mereka juga berkata banyak tindakan tidak masuk akal dalam mengehadkan makan malam dan ziarah dari satu rumah yang sama.

Sebilangan aktiviti budaya yang disenaraikan, kata mereka, seperti opera Cina, pertunjukan pentas dan perarakan tanglung, bukanlah aktiviti Tahun Baru Cina.

Kementerian berkata dua rundingan dalam talian diadakan, pada 12 dan 18 Januari.

Macma menghadiri sesi pada 12 Januari, yang difahamkan The Malaysian Insight lebih tertumpu kepada SOP di rumah ibadat bukan Islam untuk beroperasi dan sembahyang semasa Tahun Baru Cina.

KLSCAH dan Pusat Kebudayaan Han pula hadir sesi kedua pada 18 Januari, dengan isu makan besar dibincangkan. – 7 Februari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen