Benarkan aktiviti penggambaran dijalankan semula


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bulan lalu telah membawa impak yang besar kepada majoriti rakyat Malaysia. Kerajaan pula gagal untuk memberikan bantuan yang menyeluruh dan memadai bagi mengurangkan impak kewangan rakyat di kala PKP ini.    

Penggiat seni dan mereka yang terlibat dengan produksi filem, drama dan iklan juga terkesan dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara untuk melarang aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan sepanjang PKP. Ramai penggiat seni, penerbit dan persatuan yang berkenaan telah merayu kepada pihak MKN untuk membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan semula. 

Ramai yang mempersoalkan, sekiranya pasar malam dibenarkan untuk beroperasi, mengapa aktiviti penggambaran tidak boleh diteruskan pula dengan SOP yang ketat. Sewaktu aktiviti penggambaran dibenarkan semasa PKPB tahun lepas, SOP sudahpun sedia ada dan sekiranya perlu, SOP sedia ada itu boleh diperketatkan lagi. 

Menurut laporan media, MKN mengatakan bahawa penggiat seni kreatif perlu mengemukakan SOP, manakala Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pula mengatakan bahawa SOP itu telahpun diserahkan kepada MKN. Apabila pihak berwajib tidak mengambil tanggungjawab dalam perkara ini, yang terkesan teruk bukanlah Menteri, mahupun Pengerusi atau CEO Finas, tetapi penggiat seni dan industri kreatif, penerbit dan kru produksi. Sepatutnya pihak berwajib seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan MKN segera duduk semeja untuk memperincikan terus SOP yang sedia ada. 

Kerajaan dan Finas digesa untuk segera mengeluarkan SOP untuk aktiviti penggambaran dan membenarkan aktiviti tersebut dijalankan semula, demi survival anak seni dan kru produksi.  – 6 Februari, 2021.

*Syahredzan Johan adalah seorang peguam dan setiausaha politik Lim Kit Siang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen