PUTRAJAYA perlu berusaha lebih lagi untuk menyiasat perkara sebenar yang berlaku kepada Pastor Raymond Koh dan tiga lagi aktivis yang masih hilang, gesa Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).
Pengerusinya Archbishop Julian Leow Beng Kim berkata hal sebenar perlu didedahkan kepada umum dan keadilan perlu diberikan kepada keluarga mereka.
Katanya usaha itu amat penting bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang kerana kes sedemikian merupakan pelanggaran hak asasi manusia.
“Mendedahkan kebenaran tentang perkara yang berlaku amat penting bukan saja kepada keluarga Koh tetapi keluarga aktivits Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu yang masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Leow berkata cara negara ini menangani kes orang hilang akan menterjemahkan corak masyarakat kita.
“Jika akhir hidup anda tidak diketahui dan jika semua orang menyerah kalah untuk mengetahui apa yang berlaku kepada anda, maknanya anda tidak kisah.
“Kita semua mahu hidup dalam masyarakat yang saling mengambil berat seperti Koh dan mereka yang masih hilang.”
Pastor Koh diculik pada 13 Februari 2017 oleh lelaki bertopeng di SS4B/10, Petaling Jaya, Selangor.
Ahli keluarganya akan berkumpul bersama peguam mereka untuk memperingati hari kehilangan pastor itu esok.
Leow berkata walaupun keluarga mangsa culik terpisah akibat pandemik Covid-19, tetapi amat penting bagi mereka untuk mengetahui bahawa orang yang mereka sayang itu masih selamat. – 6 Februari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen