Hala tuju Umno dan BN


SEMALAM, dalam satu wawancara terbuka Annuar Musa berkata dia tidak yakin Umno boleh menang pilihan raya jika Umno tidak bekerjasama dengan Bersatu.

Annuar berkata, “Sebelum hendak berkhayal, hendak ada calon perdana menteri, kena tanya dulu parti (Umno) boleh menang ke tidak.”

Dan dia berkata lagi: “Tapi saya kena tanya pilihan raya sudah dekat ini kalau tak bersama PN (Perikatan Nasional) hendak bersama siapa?”

Saya tidak setuju dengan pemikiran sebegini.

Pemikiran sebegini adalah pemikiran yang lemah, kurang keyakinan dan ‘defeatist’.

Sebagai seorang pemimpin, kita tidak boleh menjadi belum apa-apa sudah hilang semangat dan menyerah kalah.

Isyarat dan pemikiran lemah semangat sebegini bukanlah contoh teladan yang baik kepada pengikut-pengikut kita terutama di kala getir.

Sebaliknya kita perlu kuatkan semangat dan jati diri, dan kita perlu pulihkan kepercayaan dan keyakinan.

Pada hemat saya, Barisan Nasional (BN) baru kalah sekali dalam pilihan raya umum, takkan kita hendak terus angkat bendera putih?

Dan daripada menyerah diri, kita perlu cuba merampas semula kubu-kubu kuat kita yang kita kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

Sentimen berubah-ubah

Pemikiran menyerah kalah Annuar di atas juga tidak realistik malah terlalu pesimistik. 

Kajian-kajian sentimen politik berubah-ubah mengikut isu semasa.

Semasa PRU14 rakyat tidak suka kita dan mereka telah undi Pakatan Harapan (PH).

Namun kini PH tahu rakyat tidak lagi suka mereka dengan kegagalan pentadbiran mereka selama 22 bulan, dan kerana mereka tidak menunaikan janji-janji pilihan raya.

Sebab itu kini PH takut untuk pergi pilihan raya. Mereka takut untuk berhadapan dengan rakyat.

Semalam, pemimpin-pemimpin PH berkata mereka tidak mahu pilihan raya umum diadakan sehingga 2023, tetapi mahu kuasa dikembalikan kepada mereka semula sekarang.

Mereka lupa bahawa mandat yang mereka dapat daripada rakyat semasa PRU14 telahpun hilang apabila mereka tidak tunai janji kepada rakyat apabila PH menang dalam PRU14.

Bersatu juga berada dalam PH sebelum ini. 

Malah mereka yang mengetuai PH sebelum mereka melompat keluar dari gabungan tersebut untuk menyelamatkan diri mereka dan membentuk PN apabila tahu PH telah hilang mandat dan sokongan rakyat.

Khianat

Namun walaupun telah melompat, mereka dalam Bersatu ini masih orang-orang yang sama. Iaitu orang-orang yang khianat Umno dan lompat parti, dan kemudian khianat PH dan jatuhkan kerajaan sendiri.

Bolehkah kita percaya kepada orang-orang ini? Rakyat pun tidak percaya kepada mereka lagi.

Sebab itu mereka (Bersatu) takut Parlimen bersidang.

Kini kedua-duanya iaitu PN (terutama Bersatu) dan juga PH takut untuk berhadapan dengan rakyat: satu tidak mahu pilihan raya (PH), dan satu lagi tidak mahu Parlimen dibuka (PN).

Mereka tidak yakin rakyat akan sokong mereka.

Malah, mengikut kajian-kajian terkini dari institusi bebas dari dalam dan luar negara, sokongan dan keyakinan rakyat kepada mereka adalah rendah.

Pelabur-pelabur asing juga tidak yakin kepada mereka.

Aliran modal negara berada di paras negatif lapan suku berturut-turut sejak PH dan PN memerintah negara.

Jika kita pergi pilihan raya dengan bekerjasama dengan mereka ini, kita pun akan tercalit sama dan akan rugi.

Yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mahu menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dan Parlimen untuk membuat keputusan pembentukan kerajaan adalah BN.

BN yang tegas mahu pilihan raya diadakan sebaik selepas wabak Covid-19 reda, pada saat pemimpin-pemimpin PN dan PH seboleh-bolehnya tidak mahu menyerahkan kembali mandat ke tangan rakyat tidak kira semasa wabak ataupun tidak. 

Kini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sedar dia perlu membubarkan Parlimen dan membatalkan darurat sebaik selepas wabak Covid-19 terkawal kerana dia tentunya tahu dia tidak ada cukup sokongan rakyat mahupun majoriti ahli Parlimen untuk terus memegang tampuk pemerintahan.

Jika dia berdegil tidak mahu mengundur diri dan masih mahu memegang kuasa tanpa mandat dan majoriti, lambat laun negara akan menjadi semakin huru hara.

Kukuhkan Muafakat Nasional

Dalam BN, kita (Umno) tidak bersendirian, dari dulu kita ada rakan-rakan lain seperti MCA dan MIC yang masih setia bersama.

Kita terima sesiapa yang ikhlas ingin bekerjasama dengan kita terutama PAS, tetapi bukan yang hanya mahu ambil kerusi kita dan suruh kita beri laluan dan jawatan kepada mereka walaupun mereka tiada sokongan seperti Bersatu.

Saya pasti PAS pun mempunyai sentimen yang sama terhadap Amanah.

Kita perlu kukuhkan Muafakat Nasional.

Namun sekiranya PAS memilih untuk tidak bersama kita tetapi mereka mahu bersama Bersatu dalam PN apabila menghadapi pilihan raya umum kelak, apakan daya, itu pilihan mereka.

Walaupun pilihan PAS tersebut bukanlah ideal untuk kita, namun hakikatnya kita tidak tidak boleh memaksa mereka.

PAS juga tidak boleh memaksa kita untuk menerima Bersatu. Sebagaimana juga Bersatu tidak boleh memaksa PAS untuk menerima Amanah. 

Sebelum ini saya telah kata bahawa jika orang-orang Bersatu ikhlas mahu bekerjasama dengan Umno dan serius untuk menyatukan ummah, bubarkan Bersatu dan kembali kepada Umno.

Tidak masuk akal untuk mereka paksa kita bekerjasama dengan mereka tetapi dengan syarat kita kena berikan kerusi-kerusi tradisi kita termasuk kerusi yang mereka khianat dan lompat.

Akar umbi Umno telah membuat keputusan yang jelas tentang hal ini melalui mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara baru-baru ini, dengan majoriti dan rata-rata menolak Bersatu.

Jika pemimpin-pemimpin kita sebaliknya bersetuju untuk menerima Bersatu dan mengorbankan kerusi-kerusi kita untuk memberi laluan kepada mereka (Bersatu) yang telah mengkhianati kita sebelum ini, akar umbi kita akan tolak habis-habisan langkah ini. 

Kita akan kalah pilihan raya terutamanya di kerusi-kerusi yang kita serah kepada Bersatu ini; akar umbi kita tidak akan menyokong atau berkempen untuk mereka.

Sekiranya dipaksakan juga, yang akan menang adalah PH dan kita akan rugi. Kita tidak boleh benarkan perkara ini berlaku.

PH tidak boleh dibenar memerintah semula kerana mereka telah terbukti tidak boleh mentadbir seperti juga Bersatu.

Bersatu telah memegang tampuk pemerintahan negara selama 33 bulan sejak PRU14: 22 bulan dalam PH dan 11 bulan dalam PN.

Selama 33 bulan ini mereka telah gagal untuk mentadbir negara, kesannya kebajikan rakyat semakin tidak terjaga dan semakin buruk.

Bersatu pecahkan Melayu

Sebelum ini juga (dan sebelum Dr Mahathir Mohamad kata) saya pernah kata untuk menyatupadukan orang Melayu, tidak boleh ada banyak parti Melayu.

Jika ada banyak parti Melayu walaupun dalam satu gabungan ia akan cenderung untuk bertelagah dan berpecah.

Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional adalah platform terbaik untuk menyatupadukan orang-orang Melayu.

Sebelum Langkah Sheraton, penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional berjalan dengan baik.

Namun Bersatu telah memecahkan momentum ini. Slogan penyatuan Melayu Bersatu melalui PN hanyalah retorik.

Bagaimanakah mungkin mereka boleh menjaga kepentingan orang-orang Melayu sedangkan pemimpin-pemimpin Bersatu lah yang sebelum ini telah mencadangkan ICERD, meratifikasi Statut Rom, dan sebagainya yang melemahkan perjuangan orang Melayu.

Mereka juga telah terlibat dalam kerajaan yang telah membebaskan pembunuh Muhammad Adib dan penjenayah LTTE dan bekerjasama dengan Tommy Thomas dan menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng.

Jika kita terima mereka kini, apa gerenti yang kita ada yang mereka tidak akan mengkhianati kita lagi?

Orang Melayu perlu bersatu padu. Namun kita juga perlu berhati-hati dengan pengkhianat. 

Semasa zaman Rasulullah, kita tidak disuruh bersatu dengan sesiapa sahaja, terutama dengan orang munafik atau murtad.

Sekiranya kita lihat ‘track record’ dan kecenderungan mereka (Bersatu), jika pun mereka menang kerusi-kerusi yang kita serah kepada mereka, selepas pilihan raya nanti besar kemungkinan mereka akan lompat kepada PH semula bila ia kena dengan kepentingan diri mereka.

Kita tidak boleh benarkan kita ditipu oleh mereka lagi. Dan, mereka tidak boleh dibenar untuk mengkhianati sesiapa untuk kepentingan diri mereka sendiri lagi buat kali yang ketiga.

Kelebihan BN

Saya lihat BN kini mempunyai kelebihan dari segi sokongan rakyat berbanding PH dan PN.

Kini dalam zaman PH dan PN, kehidupan rakyat semakin buruk akibat pentadbiran mereka yang tidak cekap berbanding pentadbiran BN sebelumnya, walaupun kerajaan BN sebelum ini juga pernah melalui pelbagai krisis sejak merdeka.

Hakikatnya, daripada tiga gabungan ini, ketika rakyat tertekan dengan pelbagai cabaran kehidupan akibat ketidakcekapan pentadbiran kerajaan PH dan PN bermula selepas PRU14 sehinggalah krisis Covid-19, BN kini menjadi parti yang membawa harapan rakyat untuk memperbetulkan keadaan dan mewujudkan kembali kestabilan, terutama kestabilan politik dan ekonomi.

Sekurang-kurangnya, daripada parti yang dahulu ditolak oleh rakyat semasa PRU14 akibat tohmahan dan fitnah, BN kini telah menjadi parti yang paling kurang dibenci berbanding PH dan PN.

Malah imej BN semakin pulih di kalangan rakyat dan dibuktikan melalui keputusan pilihan raya-pilihan raya kecil.

Dan BN kini dilihat membawa isu-isu yang menjaga kepentingan rakyat seperti isu ekonomi, kebajikan, KWSP, moratorium dan sebagainya. Ini adalah suatu perkembangan yang baik.

Kita perlu teruskan usaha-usaha ini.

Tidak mustahil selepas ini kita boleh kembali menjadi parti yang paling popular di mata rakyat.

Sebab itu BN dan Umno perlu gagahkan semangat dan terus berjuang dengan berprinsip untuk membawa aspirasi dan kepentingan rakyat.

Rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada kita untuk masa depan mereka yang lebih cerah.

Jika kita istiqamah, cekal dan sabar, saya yakin Barisan Nasional akan kembali menjadi kuat untuk rakyat dan negara. InsyaAllah kita akan berjaya. – 6 Februari, 2021.

* Isham Jalil, ketua penerangan BN Selangor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen