3 saranan utama bantu pembelajaran waktu pandemik


24 JANUARI, 2021 merupakan Hari Pendidikan Sedunia.

Hari yang dijadikan hari khusus dengan tema pendidikan ini bermula pada 2015 apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan Agenda Pembangunan Lestari 2030.

Menurut PBB, masyarakat dunia hanya akan mencapai kesemua 17 sasaran dengan pendidikan.

Berdasarkan data semasa daripada Unesco, terdapat 258 juta anak yang tidak mempunyai akses pendidikan dan hampir 617 juta anak yang tidak dapat membaca dan mengira.

Pandemik Covid-19 menjadikan data itu kelihatan agak lapuk dengan kemungkinan lebih ramai anak kita akan tergolong dalam salah satu atau kedua-dua golongan tadi.

Disebabkan itu, tema Hari Pendidikan Sedunia tahun ini adalah “Pulih dan Hidupkan Semula Pendidikan untuk Generasi Covid-19”.

Tiga segmen khusus akan difokuskan iaitu guru dan anak sebagai hero pendidikan, inovasi dan pembiayaan.

Di Malaysia, realiti pendidikan kita tidak seindah yang disangka. Walaupun kadar kemasukan ke sekolah rendah telah mencapai 99% pada tahun 1980-an dan 85% bagi sekolah menengah seawal tahun 2000, data terkini perihal sektor pendidikan kita pra-Covid-19 agak membimbangkan.

Khazanah Research Institute (KRI) melalui laporan The State of Households pada 2018 mendedahkan purata pelajar hanya mendapat pendidikan yang bermanfaat untuk tempoh sembilan tahun berbanding 12 tahun tempoh persekolahan mereka.

Maknanya, satu perempat waktu yang diluangkan di sekolah seolah-olah tersisa berbanding Singapura yang mencapai kadar 100% waktu di sekolah adalah bermanfaat untuk pelajar.

Bayangkan waktu yang betul-betul bermanfaat bagi anak kita apabila pembelajaran berlaku dalam talian.

Pendidikan pada fasa Covid-19

Awal minggu lepas, anak kita memulakan sesi pembelajaran mereka. Majoritinya masih di rumah melalui pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Saya sebagai seorang ayah juga tidak terkecuali merasai pengalaman sistem PdPR ini. Saya membaca Laporan KRI 2020 bertajuk “Covid-19 and Unequal Learning” dengan rasa sayu.

Statistik laporan itu agak menakutkan, yang mana 37% anak kita tidak mempunyai laptop atau tablet yang sesuai bagi pembelajaran dalam talian berbanding hanya 6 hingga 9% yang mempunyai laptop sendiri.

Pemilikan telefon pintar pula adalah di tahap 46% dalam kalangan pelajar.

Soal gajet adalah perkara pertama, kedua adalah isu akses Internet dan pembelian data. Kita semua tentu ingat kisah Veveonah yang mendapat liputan media. Saya percaya ada ribuan atau puluhan ribu lagi anak seperti Veveonah di luar sana.

Pembelian data juga merupakan satu isu yang mana secara ekonominya ramai dalam keadaan tertekan dan data hanyalah percuma bagi 1GB yang tentunya tidak dapat bertahan sepanjang sesi persekolahan biasa.

Realiti ini dibangkitkan oleh KRI bagi mereka yang mempunyai gajet. Ini belum dikira mereka yang terpaksa meminjam gajet antara adik-beradik, mereka yang tidak mempunyai gajet lebihan langsung dan mereka yang berada dalam pendidikan khas bagi anak kita yang mempunyai kesukaran belajar dan sebagainya.

Realiti ini sangat membimbangkan. Tanpa gajet, kemudahan seperti akses Internet dan data, anak-anak kita berada dalam risiko tercicir daripada arus pendidikan dan seterusnya melebarkan jurang pendidikan antara pelbagai segmen masyarakat.

Pendidikan dan mobiliti sosial

Mobiliti sosial merujuk kepada satu proses perubahan atau pergerakan seseorang atau sesuatu kelompok daripada satu kedudukan kepada kedudukan yang lain.

Faktor pendidikan kepada mobiliti sosial bukanlah sesuatu yang asing. Dalam sejarah Malaysia, ribuan malah ratusan ribu keluarga miskin berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dengan pendidikan anak-anak mereka.

Saya berpandangan, apa yang menimpa kita hari ini akan menjejaskan ramai bukan untuk tempoh jangka pendek tetapi jangka masa panjang seandainya isu pendidikan di kala Covid-19 ini tidak diselesaikan segera.

Saya juga mengikuti rapat #SuaraPelajar di Twitter yang penuh dengan luahan pelajar khususnya anak yang sedang menduduki peperiksaan SPM.

Kebimbangan saya pada nasib mereka selepas SPM, peluang mereka ke institusi pengajian tinggi dan minat mereka untuk menyambung pengajian di sana. Rata-rata mereka bimbang dengan keputusan SPM yang bakal mereka perolehi.

Saranan dan cadangan

Berdasarkan pemerhatian dan pembacaan saya, terdapat beberapa saranan yang ingin saya utarakan ke atas masalah yang menjadi kebimbangan rakyat waktu ini.

Pertama, saranan supaya kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk proaktif mencari penyelesaian.

Panggil kesemua pemegang taruh ke meja perbincangan supaya polisi yang dikeluarkan tidak separuh masak, ditarik balik dan diubah.

Cadangan oleh awam seperti yang diutarakan oleh Profesor Jomo KS perihal penggunaan televisyen dan radio perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Selain itu, pembiayaan dan bantuan khusus kepada para guru dan pelajar bagi melengkapkan diri mereka untuk melalui PdPR ini perlu difikirkan segera.

Kedua, strategi baru bagi pusat pengajian tinggi dan penggunaan sekolah kurang murid. Kerajaan boleh mengambil contoh usaha yang dilakukan oleh National University of Singapore (NUS) dalam memulakan sesi pengajian mereka.

Pelajar dan pensyarah mula kembali ke kampus dengan SOP dan langkah pencegahan yang ketat. Mereka menggabungkan pembelajaran secara hibrid iaitu secara fizikal di kampus dan dalam talian.

Selain itu, kerajaan juga perlu memanfaatkan sekolah kurang murid yang dianggarkan merangkumi 30% daripada 10,000 sekolah di seluruh negara. Tidakkah boleh dimanfaatkan kemudahan ini yang mana penjarakan fizikal mudah dibuat?

Akhir sekali yang ketiga adalah pemerkasaan peranan ibu bapa. Di sini semua pihak kerajaan, majikan, pendidik, NGO dan ibu bapa perlu bersama memainkan peranan supaya peranan ibu bapa dalam menjadi guru utama pelajar dapat dimainkan.

Ibu bapa perlu diperkasakan dari segi kewangan, waktu bekerja yang fleksibel dan pengetahuan asas dalam menjadi guru kepada anak-anak mereka.

Program Impak

Di pihak Ikram Muda Malaysia, kami melaksanakan program “Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak” atau Impak yang memfokuskan kepada ibu bapa di kawasan perumahan kos rendah.

Program yang berlangsung hampir lima tahun ini merupakan program anjuran Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dengan kerjasama Ikram, Tamil Foundation Malaysia dan Community Transformation Initiative (CTI).

Ia bertujuan membantu ibu bapa menguasai cara dan teknik sesuai untuk membantu anak daripada segi pembelajaran di rumah, menyelesaikan masalah pembelajaran anak dan meningkatkan sahsiah anak.

Pada waktu kritikal seperti ini, kami bersedia berkongsi pengalaman dan cubaan kami dalam usaha menyelamatkan generasi Covid-19 daripada ketidakseimbangan peluang pendidikan yang bakal wujud.

Semoga usaha kita semua dapat membantu menjamin masa depan anak kita dan seterusnya menjamin kemakmuran masyarakat dan negara. – 6 Februari, 2021.

* Mohd Hafiz Abd Hamid ialah ketua Ikram Muda bawah Pertubuhan Ikram Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen