FDI Malaysia susut bukan hanya kerana Covid-19, kata pakar ekonomi


Bernard Saw

FDI Malaysia jatuh 68% kepada AS$2.5 bilion tahun lalu, yang terburuk di rantau ini, menurut laporan UNCTAD minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Februari, 2021.

PENGALIRAN masuk pelaburan langsung asing (FDI) susut pada 2020 bukan disebabkan oleh pandemik Covid-19 semata-mata, ketika negara-negara jiran sudah mula mengatasi pencapaian Malaysia yang pernah digelar ‘Harimau Asia’, kata pakar ekonomi.

FDI Malaysia jatuh 68% kepada AS$2.5 bilion tahun lalu, yang terburuk di rantau ini, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) minggu lalu.

Wong Chin-Yoong dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata walaupun negara Asia Tenggara lain turut menghadapi kesan akibat pandemik Covid-19, namun FDI Malaysia merosot pada kadar paling tinggi.

Ini kerana negara jiran di Asean masih mempunyai kelebihan dari segi teknologi dan persekitaran pasaran yang jauh lebih baik.

“Kebanyakan syarikat teknologi ke Singapura dan Taiwan. Ditambah pula dengan pandemik, lebih banyak FDI dibawa keluar dari Malaysia,” Wong memberitahu The Malaysian Insight.

Indonesia misalnya, walaupun dilanda pandemik Covid-19 namun kadar FDI negara itu tidak begitu teruk kerana pasarannya jauh lebih besar dan ekosistem teknologi maklumatnya jauh lebih baik, tambahnya.

“Malaysia ketinggalan. Bidang sains dan teknologi kita belum matang. Kecuali kelebihan yang kita kekalkan pada 1980-an dan 1990-an, seperti elektronik, kimia dan jentera.”

Oleh itu, Wong berpendapat Malaysia tidak mempunyai kelebihan ketara untuk menarik lebih banyak FDI pada masa akan datang.

Selain itu, Wong berkata persekitaran pasaran yang kondusif bagi FDI memerlukan koordinasi antara agensi kerajaan.

“Polisi mesti merangkumi semua jabatan. Kita mesti pastikan sama ada seluruh koordinasi mencapai standard.”

Ketidakstabilan politik juga menjadi faktor mengapa FDI merosot, katanya, merujuk kepada kerajaan Pakatan Harapan yang tumbang melalui rampasan kuasa selepas 22 bulan mentadbir negara dan digantikan oleh Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan PN dikritik kerana dasar ekonominya yang gagal meskipun melaksanakan sekatan pergerakan sehingga menjejaskan operasi perniagaan. Malah dasar PN untuk memerangi Covid-19 juga tidak jelas serta tidak konsisten.

Penganalisis dan Penasihat Ekonomi KSI Strategic Institute for Asia Pacific Prof Dr Hoo Ke Ping berkata kadar FDI Malaysia yang merosot teruk pada 2020 sebenarnya berdasarkan keputusan pelabur setahun hingga tiga tahun yang lalu.

Oleh itu, situasi Malaysia bukanlah semata-mata disebabkan pandemik Covid-19, tetapi faktor lain yang menyebabkan pelabur asing memutuskan untuk beralih ke negara lain.

“Inilah yang dikatakan susulan masa (time lag), di mana pelabur asing buat keputusan satu atau tiga tahun lebih awal. Mereka tidak buat keputusan sama ada mahu melabur atau tidak ketika itu (tahun 2020) juga.

Hoo percaya pelabur mungkin menilai situasi di Malaysia sejak 2018 hingga 2020 sama ada mahu melabur tahun lalu. – 6 Februari, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen