.jpg)
SAYA merujuk kepada beberapa pendedahan kontroversi bekas peguam negara Tommy Thomas dalam buku memoirnya “My Story: Justice in the Wilderness”. Ramai yang berpendapat beliau bukan saja telah melanggar sumpah janji untuk menjaga kerahsiaan urusan dalaman kerajaan setelah dilantik sebagai peguam negara (dan setelah tidak memegang jawatan itu), malah beliau bersikap berat sebelah apabila mengulas sesuatu keputusan rasmi kerajaan ketika itu.
Kecenderungan Thomas untuk dilihat sebagai hero yang lantang kononnya dalam membongkar dan mendedahkan apa yang difikirkannya sebagai “kebenaran” hakikatnya hanyalah manifestasi pegangan politik bekas peguam bela kepada tokoh komunis Chin Peng yang diketahui selama ini condong ke arah menyokong pihak pembangkang khususnya DAP.
Banyak dakwaan Thomas bersifat sangkaan serta pendapat beliau semata-mata tanpa sebarang pembuktian yang jelas untuk dipaparkan bagi mendukung hujah-hujahnya dalam buku memoir beliau tersebut. Sebagai contoh, dakwaan beliau bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memilih Dr Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah Dr Mahathir meletak jawatan.
Sejak bila Thomas menjadi jurucakap pihak Istana Negara untuk membuat dakwaan itu? Adakah Thomas mendapat izin dari Yang di-Pertuan Agong untuk mendedahkan cerita itu andai hal itu benar sekalipun?
Bukan itu saja malah Thomas seolah-olah mempertikaikan pula laporan koroner (pakar bedah mayat) dalam kes pembunuhan anggota bomba arwah Muhammad Adib Mohd Kassim dalam peristiwa rusuhan penyokong kuil haram di Subang Jaya yang terjadi di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Selaku bekas peguam negara yang kononnya ingin menegakkan keadilan, sewajarnya Thomas mengecam watak-watak menteri berketurunan India dalam kerajaan PH ketika itu khususnya Menteri Perpaduan Waytha Moorthy yang secara gopoh menyalahkan pihak polis hingga ia berjaya membakar emosi para penganut Hindu untuk merusuh dan membakar beberapa kenderaan di tempat kejadian.
Sikap Thomas yang melemparkan tuduhan-tuduhan negatif terhadap budaya kerja para penjawat awam khususnya di Jabatan Peguam Negara secara terbuka dalam bukunya juga adalah tidak wajar.
Sepatutnya beliau mengadu melalui laporan rasmi secara profesional jika ikhlas mahukan perubahan dalam hal pentadbiran yang pernah dinaungi beliau selaku peguam negara dahulu.
Sesungguhnya Thomas adalah contoh peguam negara yang gagal kerana ketika menjawat jawatan itu, beliau gagal menyakinkan perdana menteri ketika itu bahawa Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih merupakan kumpulan pengganas antarabangsa yang berbahaya terhadap keharmonian masyarakat majmuk negara ini serta merupakan ancaman keselamatan negara jika tidak dibendung dari awal.
Satu saja “kejayaan” Thomas yang rakyat Malaysia perlu ingat, iaitu menggugurkan kes skandal banglo Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dari dibicarakan di mahkamah.
Nampaknya beliau lebih cenderung menjadi ahli politik daripada menggalas amanah sebagai peguam negara yang adil dalam menegakkan undang-undang.
Hikmah luahan isi perut Thomas dalam buku memoirnya itu adalah bukti jelas bahawa tidak semestinya peguam negara dari bukan Melayu itu cukup profesional dan tegas seperti yang pernah disangka oleh orang yang memilih beliau untuk jawatan tersebut iaitu perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.
Tidak wajar faktor keturunan dijadikan mangsa pukul rata oleh mereka yang berkepentingan politik kerana kelak ia hanya mendatangkan prasangka antara kaum.
Maka saya secara peribadi mencadangkan agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat secara menyeluruh isi kandungan buku memoir Thomas tersebut yang hanya mendatangkan kontroversi berbanding solusi.
Buku tersebut wajar diharamkan jika ia mengandungi fitnah serta hasutan. Thomas juga wajar dikenakan tindakan tegas atas perbuatan beliau yang melanggar sumpah janji menjaga kerahsiaan urusan kerajaan dan negara.– 5 Februari, 2021.
* Dr Muhammad Faiz Na’aman, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen