Harapan restoran Cina punah susulan PKP lanjut


Angie Tan

Harapan pemilik restoran Cina untuk beroperasi semasa Tahun Baru Cina punah susulan PKP dilanjutkan sehingga 18 Februari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2021.

HARAPAN pemilik restoran Cina untuk beroperasi semasa perayaan Tahun Baru Cina punah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 18 Februari.

Pemilik memberitahu The Malaysian Insight, mereka sebelum ini berharap dapat membuat untung pada tujuh hari pertama Tahun Baru Cina yang jatuh pada 12 dan 13 Februari ini.

Sambutan Tahun Baru Cina kebiasaannya musim paling sibuk dengan majlis makan besar, makan malam tahunan syarikat dan perjumpaan keluarga.

Pemilik kini menjangkakan lebih banyak restoran akan tutup selepas Tahun Baru Cina kerana operasi hanya dibenarkan untuk penghantaran dan bawa pulang.

“Ini tambahan kepada lebih 100 restoran besar dan kecil yang telah pun tutup atau henti beroperasi tahun lalu,” kata Lum Tuck Loy, presiden Persatuan Restoran Selangor & Wilayah Persekutuan Ku Su Shin Choong Hung.

“Selepas setahun, kita masih ada PKP. Tak tahulah berapa banyak restoran yang dapat terus bertahan.”

Tambah beliau, lanjutan PKP tidak boleh meliputi seluruh negara, sebaliknya dilaksanakan di kawasan yang merekodkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi.

“Kalau tidak, bagaimana kita hendak berniaga, sebab kita tak tahu berapa lama lagi PKP akan dilanjutkan.

“Bagaimana hendak bertahan jika hanya restoran hanya dibenarkan beroperasi penghantaran dan bungkus saja? 
“Mungkin sesuai untuk makanan yang ringkas macam nasi goreng dan mi goreng, sedangkan restoran kami lebih mengkhusus kepada hidangan mewah,” katanya.

Lum juga berharap persatuan akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya membenarkan pelanggan makan di restoran.

“Saya harap kerajaan akan benarkan pelanggan makan di kedai terhad kepada empat atau lima orang semeja supaya industri ini dapat bertahan.”

Harapan pudar

Sementara itu, Presiden Persatuan Restoran Johor Ang Swee Kiong meramalkan sekitar 10% hingga 20% daripada 400 restoran besar dan kecil di Johor berisiko tutup selepas Tahun Baru Cina.

“Industri ini bergantung harap pada Tahun Baru Cina, tetapi nampaknya sukar untuk mereka bertahan dalam situasi sekarang,” kata Ang.

Tambahnya, banyak restoran telah mula melancarkan set hidangan Tahun Baru Cina seperti “Poon Choi” untuk bawa pulang.

“Poon Choi” adalah makanan tradisional terdiri daripada pelbagai jenis daging, makanan laut dan sayur-sayuran yang dimasak secara berasingan yang kemudiannya disusun menjadi satu dalam satu mangkuk besar.

“Pandemik ini menyebabkan pelanggan tak mahu berbelanja besar sempena sambutan Tahun Baru. Jadi, restoran perlu menawarkan harga yang berpatutan untuk tarik pelanggan.”

Presiden Persatuan Restoran dan Chef Koo Soo Wong Teu Hoon berkata beliau telah menjangkakan PKP dilanjutkan berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat.

“Sejak Januari lagi sekitar 30% hingga 40% makan malam tahunan syarikat batal, begitu juga 20% perjumpaan keluarga.

“Ini pertama kali sejak beberapa dekad lalu saya menghadapi situasi ini. Biasanya, restoran akan penuh sampailah hari ke-15 Tahun Baru Cina, tapi kali ini kosong,” katanya. – 6 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen