Pakar ramal kesan PKP 2.0 terhadap ekonomi tidak seteruk 2020


Bernard Saw

Ahli ekonomi ramal prestasi ekonomi untuk suku pertama tahun ini akan menyusut tetapi tidak seperti ketika PKP tahun lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Februari, 2021.

EKONOMI akan menguncup pada suku pertama 2021 tetapi tidak sehingga penurunan dua digit seperti yang dilihat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) yang pertama kali diperkenalkan pada Mac tahun lalu, kata ahli ekonomi dan pakar perdagangan.

Mereka berkata ini disebabkan pelaksanaan PKP 2.0 yang kurang ketat, dengan kebanyakan industri dibenarkan beroperasi tidak seperti PKP tahun lalu.

Ahli ekonomi bagaimanapun menyarankan agar pembukaan industri untuk tujuan pemulihan ekonomi tidak bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan untuk mengekang wabak Covid-19.

Lee Heng Guie dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) memberitahu The Malaysian Insight bahawa prestasi ekonomi pada suku pertama tahun ini tidak akan terlalu baik kerana PKP yang dilanjutkan sehingga 18 Februari.

Ahli ekonomi kanan dan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-ekonomi ACCCIM berkata lanjutan PKP akan memberi kesan kepada perniagaan.

“Januari dan Februari adalah dua bulan kritikal kerana perniagaan biasanya mempunyai prestasi yang lebih baik pada awal tahun.

“Namun PKP 2.0 kini tidak begitu ketat dibandingkan tahun lalu, jadi impaknya tidak akan begitu besar terhadap penyusutan dua digit.

“Mungkin angka pertumbuhan industri tertentu tidak sedap dipandang. Nampaknya angka peruncitan dan pelancongan akan lebih buruk,” katanya.

Dr Hoo Ke Ping, penasihat ekonomi di Kingsley Strategic Institute (KSI) untuk Asia Pasifik berkata beberapa industri bergantung pada musim Tahun Baharu Cina yang mungkin menyumbang hampir separuh daripada prestasi perniagaan tahunan mereka.

Kuncinya adalah memastikan bahawa ada komunikasi yang baik antara kerajaan dan peniaga, katanya, merujuk kepada tujuan kerajaan untuk membuka lebih banyak bidang ekonomi.

“Secara teorinya pastikan tidak ada percanggahan antara pembukaan ekonomi dan pelaksanaan PKP.

“Sebagai contoh, mengehadkan jumlah orang di pasar raya tidak akan memberi kesan kepada keseluruhan perniagaan dan hal yang sama berlaku untuk kedai gunting rambut,” katanya.

Beliau mendesak komuniti peniaga mengambil inisiatif untuk mengusulkan SOP yang relevan kepada kerajaan dan bukannya mengeluh selepas SOP baru dikeluarkan.

Ramai yang mengadu bahawa mereka terkesan tetapi tidak mempunyai saluran untuk menyatakan pandangan mereka kepada kerajaan, kata Hoo.

Sementara itu Lee berkata bahawa maklum balas dari akar umbi adalah kriteria kerajaan untuk membuat keputusan tidak telus dan sering bertentangan.

“Mungkin ada banyak kluster di tempat kerja dan industri pembinaan serta pembuatan disebut. Tetapi adakah ada industri lain?

“Kedai gunting rambut tidak dapat dibuka. Apakah ada kes-kes yang berkaitan dengan tempat itu? Perlu telus mengapa mereka tidak dapat beroperasi. Apakah ada kekhuatiran bahawa kedai gunting rambut tidak dapat mengawal kehadiran orang ramai?,” katanya.

Lee berkata beliau juga dimaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang berkomunikasi dengan komuniti peniaga untuk menyelesaikan ketidakpastian dan kestabilan sebelum ini.

Kerajaan dijangka tidak akan membenarkan perjalanan antara negeri terutama semasa perayaan Tahun Baharu Cina, katanya.

“Terdapat banyak kes jangkitan akibat perjalanan rentas negeri dikesan semasa Hari Raya, saya rasa mereka tidak akan membenarkannya sekarang,” katanya. – 5 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen